Kerajaan benarkan penyelidikan pengajian pasca siswazah

Kerajaan benarkan penyelidikan pengajian pasca siswazah

Kebenaran ini membabitkan 31,503 pelajar di 462 IPT yang perlu melakukan penyelidikan secara fizikal di makmal, bengkel dan studio reka bentuk.

Kerajaan membenarkan 31,503 pelajar pasca-siswazah mod penyelidikan untuk memulakan aktiviti akademik dengan segera. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan membenarkan 31,503 pelajar pasca-siswazah mod penyelidikan seperti pengajian sarjana dan doktor falsafah di institusi pengajian tinggi untuk memulakan kegiatan akademik dengan segera.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu diluluskan Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) semalam, selepas cadangan dibentangkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Kebenaran ini membabitkan pelajar di 462 IPT yang perlu melakukan penyelidikan secara fizikal di makmal, bengkel dan studio reka bentuk kerana memerlukan peralatan khusus,” katanya pada sidang media hari ini.

Sekolah kerajaan, swasta dilarang operasi

Dalam pada itu, Ismail berkata semua sekolah tidak kira sama ada sekolah kerajaan, swasta dan antarabangsa masih belum dibenarkan dibuka.

Sekolah terbabit akan diarah tutup jika siasatan Kementerian Pendidikan mendapati ada sekolah yang dibuka.

“Sama ada sekolah kebangsaan atau sekolah menengah kerajaan, termasuk sekolah swasta rendah atau menengah termasuk sekolah antarabangsa kena patuh,” katanya.

Pusat hiburan, kelab malam dilarang operasi

Ismail juga berkata kelab malam, dan pusat hiburan masih dalam senarai dilarang untuk beroperasi.

Katanya, jika ada masih yang melanggar peraturan, pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan ambil tindakan.

“Tidak ada kompromi dari segi itu,” katanya.

Rakyat miliki PR tak dibenar pulang

Ismail berkata kerajaan membenarkan rakyat yang memiliki status penduduk tetap (PR) negara luar untuk pulang ke negara berkenaan sepanjang tempoh PKPB.

Bagaimanapun individu terbabit tidak dibenarkan pulang selagi PKPB belum berakhir.

“Polisi kita, pintu negara ditutup kepada semua rakyat asing balik ke Malaysia. Manakala rakyat pulang ke Malaysia wajib dikuarantin.

“Bagi rakyat kita mempunyai PR di luar negara, jika mereka mahu pulang ke negara memberikan PR kepada mereka kita benarkan.

“Tetapi kita tak benarkan mereka balik semula ke negara ini sehingga tamat PKPB,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.