
Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata beliau baru sahaja menerima jemputan ke mesyuarat itu dan terkejut menerima jemputan tersebut kerana beliau dimaklumkan MPT sudah bermesyuarat pada 9 Mei.
Akhramsyah yang juga pengasas dan ahli MPT berkata, beliau harap mesyuarat itu akan membincangkan langkah untuk merapatkan barisan demi memastikan PPBM berperanan penting sebagai parti dalam memerangi wabak Covid-19.
“Saya berdoa desas-desus yang menyatakan mesyuarat esok berniat untuk menggugurkan keahlian Mahathir dan Mukhriz berdasarkan kenyataan ketua penerangan tidak benar.
“Saya khuatir jika yang tak diingini berlaku, Presiden PPBM Muhyiddin Yassin akan tinggal satu-satunya pengasas yang masih ahli PPBM nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga kurang setuju dengan elemen kenyataan Radzi kerana dilihat melanggar prinsip parti.
Katanya Perkara 5 dalam kenyataan bertarikh 7 Mei menidakkan hak ahli untuk ingkar dengan pendirian parti kelihatan keterlaluan.
“Konteks yang diberikan sebagai contoh adalah ekstrem yakni menyokong gabungan parti politik ‘lain’, tetapi untuk kemudian menyatakan gugur keahlian kerana tidak setuju dengan pendirian parti yang ditentukan oleh kepimpinan melanggar semangat penubuhan PPBM.
“Memandangkan MPT tidak pernah bersetuju menyertai apatah lagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), kalau benar gugur keahlian mana-mana ahli yang menyertai gabungan politik yang tak diluluskan sebagai dasar parti, mengikut logik ketua penerangan, semua ahli PPBM yang kini menyertai kerajaan PN gugur keahliannya,” katanya.
Beliau turut menyangkal kenyataan Radzi pada 9 Mei yang menegaskan perancangan membawa PPBM keluar dari PH dan membentuk sebuah gabungan politik baru diketahui dan disokong Mahathir.
Semalam, Radzi dalam satu kenyataan mendakwa keputusan PPBM meninggalkan PH dibuat atas beberapa faktor, termasuk keadaan Mahathir sentiasa didesak pimpinan PH, terutamanya PKR dan DAP supaya melepaskan jawatan perdana menteri.
Katanya, Mahathir pada dasarnya menyokong keputusan PPBM keluar PH, tetapi menukar pendiriannya pada saat akhir Februari lalu.
Radzi berkata, keputusan PPBM keluar PH tidak dibuat tergesa-gesa kerana ia dibincangkan di pelbagai peringkat pimpinan parti beberapa bulan sebelumnya dan dimuktamadkan dalam mesyuarat Biro Politik PPBM pada 21 Feb serta MPT PPBM pada 23 Feb lalu.
Akramsyah berkata jika benar Mahathir merestui kerajaan PN, mengapa beliau sendiri mengemukakan usul tak percaya ke atas Muhyiddin.
Beliau berkata tindakan Mahathir sebenarnya secara langsung menyangkal dongeng yang dihebahkan ke akar umbi PPBM dan masyarakat Melayu bahawa ia semua perancangan Mahathir bagi menghalang Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.
“Kalau benar ia semua perancangan Mahathir, kenapakah beliau pula yang ingin menjatuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin? Beliau seharusnya gembira. Ternyata perubahan kerajaan ini bukan rancangan Mahathir tetapi usaha individu-individu lain,” katanya.