Cuepacs mahu bincang selesai isu tuntutan elaun Covid-19 petugas dengan KKM

Cuepacs mahu bincang selesai isu tuntutan elaun Covid-19 petugas dengan KKM

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata, perbincangan 2 hala antara majikan dengan pekerja dapat menyelesaikan isu ini secara menyeluruh.

Pada 27 Mac Putrajaya mengumumkan elaun khas RM400 sebulan kepada petugas kesihatan yang terlibat secara langsung mengurus wabak Covid-19 dinaikkan kepada RM600.
KUALA LUMPUR:
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa agar satu sesi perbincangan dapat diadakan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), wakil kesatuan dan pekerja berhubung isu tuntutan elaun Covid-19 melibatkan anggota kesihatan.

Presidennya Adnan Mat dalam kenyataan hari ini berkata, perbincangan 2 hala antara majikan dan pekerja dapat menyelesaikan isu ini secara keseluruhan.

“Pandangan dan suara daripada pihak kesatuan atau wakil pekerja perlu diambil kira bagi memastikan hak dan kebajikan petugas barisan hadapan terbela sepenuhnya.

“Justeru Cuepacs berharap agar KKM meneliti dan membuat pertimbangan sewajarnya bagi memudahkan kaedah pembayaran elaun Covid-19.

“Penambahbaikan yang dibuat haruslah bertujuan memudahkan urusan kerja petugas barisan hadapan dan tidak menidakkan hak yang sepatutnya mereka terima,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar hari ini yang menyiarkan luahan barisan petugas hadapan KKM yang mendakwa berdepan kerenah birokrasi berhubung elaun Covid-19.

Adnan berkata, agensi dan jabatan lain seperti polis, tentera Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam perlu turut sama meneliti perkara ini dan memudahkan urusan pembayaran elaun khas yang diterima untuk petugas barisan hadapan mereka.

“Elaun yang diberikan oleh kerajaan adalah suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan. Janganlah kita lunturkan semangat dengan kerenah-kerenah birokrasi yang dicipta sendiri,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pada 27 Mac lepas mengumumkan peningkatan elaun khas daripada RM400 kepada RM600 bagi petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan serta membendung Covid-19.

Bagi anggota tentera, polis, kastam, imigresen, Angkatan Pertahanan Awam serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP), mereka akan menerima elaun khas RM200 sebulan.

Elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak Covid-19 berakhir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.