
Ketua Menteri Shafie Apdal berkata, sektor pembinaan, penyelenggaraan dan perhutanan dibenarkan memulakan semula operasi hari ini.
Bagi sektor pembinaan, ia meliputi projek pembinaan bangunan, termasuk infrastruktur, kemudahan awam dan landskap.
Sektor penyelenggaraan pula merangkumi pembaikan dan penjagaan bangunan, kemudahan awam, loji utiliti, kumbahan, menebas rumput dan kemudahan awam lain.
“Aktiviti berkaitan dengan rangkaian dan perkhidmatan sokongan bagi sektor pembinaan dan penyelenggaraan yang meliputi kuari batu dan pasir, kilang simen dan batu hangus, pemotongan bukit, kedai barangan logam dan pengangkutan bahan pembinaan juga dibenarkan,” katanya.
Bagi sektor perhutanan pula, aktiviti huluan dan hiliran dibenarkan, selain rangkaian dan perhidmatan sokongannya.
“Kerajaan negeri menegaskan bahawa kebenaran beroperasi yang diberikan kepada sektor ini adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM). Semua sektor perlu mendapatkan pengesahan bebas Covid-19 daripada pejabat kesihatan negeri,” katanya.