Tindakan disiplin beramai-ramai beri gambaran sokongan sudah merosot, kata Adun PKR Kedah

Tindakan disiplin beramai-ramai beri gambaran sokongan sudah merosot, kata Adun PKR Kedah

Azman Nasrudin berkata pemecatan dan penggantungan ahli secara beramai-ramai menunjukkan sokongan terhadap partinya sudah merosot.

PETALING JAYA:
Seorang Adun PKR di Kedah berkata tindakan disiplin secara beramai-ramai terhadap lebih 600 ahli termasuk pemecatan keahlian menunjukkan sokongan terhadap partinya sudah merosot.

Wakil rakyat Lunas, Azman Nasrudin bagaimanapun menghormati keputusan pucuk pimpinan parti, mengatakan terpulang kepada lembaga disiplin PKR dan presidennya, Anwar Ibrahim.

Beliau mengingatkan jika perjuangan PKR dilihat hanya tertumpu kepada mengangkat seorang pemimpin parti menjadi perdana menteri, ia akan dianggap sudah lari daripada fokus perjuangan untuk rakyat.

Azman Nasrudin

“Bila pemecatan dan penggantungan ahli secara beramai-ramai menunjukkan parti ini sudah merosot sokongan dan akan terus merosot sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya, yang juga exco kerajaan Kedah, kepada FMT.

Perkembangan ini menyusuli pelucutan keahlian 348 orang dan penggantungan keahlian 285 yang lain termasuk Ketua Wanita, Haniza Talha.

Timbalan Ketua Wanita, Daroyah Alwi amat kesal dan kecewa dengan tindakan terhadap anggota parti yang dikatakan pengkhianat dan melanggar tata etika dan disiplin parti, mengatakan majlis pimpinan pusat harus lebih telus dan rasional.

Sebelum itu, PKR mengeluarkan senarai mereka yang dikenakan tindakan disiplin termasuk individu yang dikatakan pro bekas timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali. Keahlian Haniza digantung pada 6 Apr kerana menghadiri pertemuan dengan Azmin dan bekas naib presiden, Zuraida Kamaruddin pada Feb.

Baru-baru ini, seorang Adun PKR di Kedah dikatakan secara terbuka mengatakan beliau tidak berpuas hati dengan tindakan disiplin secara beramai-ramai itu.

Wakil rakyat Sidam, Robert Ling Kui Ee dikatakan mencabar parti sendiri supaya turut mengambil tindakan terhadapnya.

“Ketika dunia sedang bertarung dengan Covid-19, ada sebuah parti di Malaysia lebih suka untuk memecat dan menggantung keanggotaan anggota sendiri.

“Bila mahu gantung saya pula? Takut untuk pecat saya kah? takut hilang kerajaan negeri pula kah? saya akan mempertahankan anggota yang setia dengan saya di Kedah,” katanya menurut laporan media.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.