
Azman hari ini mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan bersubahat rasuah berhubung sebuah projek ternakan lembu milik kerajaan Kedah.
Peguamnya N Surendran dalam sidang media selepas prosiding pagi tadi berkata, beliau terkejut melihat pertuduhan itu kerana anak guamnya tidak melakukan sebarang kesalahan berdasarkan tuduhan dilemparkan terhadapnya.
“Selepas meneliti tuduhan itu, kami dapati ia cacat.
“Tiada asas untuk mendakwanya kerana beliau tidak melakukan kesalahan berhubung dakwaan subahat mengeluarkan surat tawaran.”
Katanya, beliau sudah memaklumkan mahkamah satu permohonan akan difailkan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan pertuduhan itu kerana ia cacat dari segi undang-undang dan salah guna proses.
Beliau akan mencabar perintah Mahkamah Sesyen untuk Azman menyerahkan pasportnya sehingga kes selesai memandangkan wakil rakyat itu mempunyai rekod baik dan tiada asas menghalangnya keluar negara.
Azman didakwa mengarahkan ketua pegawai eksekutif Kedah Agro Holdings Bhd mengeluarkan surat tawaran kepada ahli perniagaan, Hassanaim Fauzi untuk projek itu.
Beliau turut didakwa bersubahat dengan ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar yang dituduh menerima RM400,000 daripada Hassanaim untuk membantu mendapatkan projek itu.
Amar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada Hassanaim, dengan semua kesalahan didakwa berlaku pada Jun 2020.
Azman didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.