
Beliau berumur 42 tahun.
Berada bersama Sumiyati sebelum ia maut akibat penyakit tidak diketahui itu pada petang Isnin lepas ialah jiran-tetangganya yang berusia, yang bertungkus-lumus menjaga wanita itu semampu mereka.
Mereka berada tidak jauh darinya ketika beliau menjerit kesakitan. Mereka bergegas menghampirinya, tetapi mendapati Sumiyati telah tiada.
Beliau terlantar di tilam lusuhnya ketika itu.
Dalam laporan FMT minggu lepas, disebutkan bahawa suami Sumiyati, Mohammad Aji, keluar untuk membeli ubat tetapi beliau tidak membawa dokumen pengenalan dirinya yang telah tamat tempoh.
Beliau dikatakan ditahan polis dan dibawa ke lokap Balai Polis Sepang. Muhammad kini dipercayai berada di penjara Sungai Buloh.
Pasangan itu datang ke Malaysia dari Indonesia 3 tahun lepas. Sumiyati bekerja sebagai pembantu rumah, sementara suaminya bekerja di tapak pembinaan. Penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermakna kedua-dua mereka hilang punca pendapatan.
Mahfud Budiono mengetuai kumpulan sukarelawan Nahdatul Ulama (NU) yang membantu rakyat Indonesia yang berdepan kesusahan di negara ini.
FMT berada bersamanya ketika beliau menziarahi flat pasangan itu di Puchong minggu lepas.
Sewaktu Mahfud menyampaikan bantuan makanan kepada mereka, kami dapati Sumiyati terbaring di tilamnya. Kesakitan tergambar di wajahnya.
Mahfud menyuarakan kesedihannya kerana tidak dapat membantu Sumiyati.
“Keadaannya kritikal. Saya berasa mahu menangis.”
Selepas Sumiyati meninggal dunia, beliau memberitahu FMT: “Dia mati keseorangan, tanpa anak atau suami di sisi.”
Beliau berkata, jiran Sumiyati memberitahunya bahawa sebelum meninggal dunia, dia kelihatan semakin sembuh. Malah dia meminta segelas air.
“Dia kemudiannya kelihatan kesakitan secara tiba-tiba dan pergi tak lama selepas itu.”
Mahfud dipertanggungjawabkan menyampaikan berita sedih itu kepada keluarga Sumiyati. Anak perempuannya tinggal di Bali, sementara adik lelakinya di Jember, di Jawa Timur.
Mereka kesedihan dan mahu jenazahnya dibawa balik ke kampung – permintaan yang hampir mustahil ditunaikan pada waktu yang sukar kini.
Mereka akhirnya bersetuju supaya jenazah dikebumikan di perkuburan Islam di Puchong Perdana.
Pegawai kesihatan tidak memaklumkan punca kematian Sumiyati, tetapi mengesahkan ia bukan akibat jangkitan Covid-19.
“Saya sangat sedih. Kami tidak dapat membantunya,” kata Mahfud.