Perkeso tanggung kos ujian swab atau ujian pantas, soal MEF isu saringan pekerja asing

Perkeso tanggung kos ujian swab atau ujian pantas, soal MEF isu saringan pekerja asing

Shamsuddin Bardan berkata MEF menyokong ujian pantas dengan kos saringan ditanggung Perkeso.

Kerajaan semalam mengumumkan Perkeso akan menanggung kos saringan Covid-19 bagi lebih 60% pekerja asing sah yang mencarum dengannya.
PETALING JAYA:
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) perlukan penjelasan apakah jenis saringan ke atas pekerja asing sah yang mencarum yang akan ditanggung Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), susulan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob semalam.

Pengarah Eksekutif Shamsuddin Bardan berkata pengumuman itu tidak menyatakan jenis saringan yang dibuat bawah skim itu, sama ada ujian swab atau ujian pantas.

“MEF menyokong rancangan menyaring semua pekerja yang diumumkan sebelum ini, di mana saringan dibuat melalui kit ujian pantas dan kos saringan ditanggung Perkeso.

“Malangnya, MEF difahamkan sehingga hari ini doktor panel Perkeso belum dibekalkan kit ujian itu dan tiada saringan boleh dilakukan,” katanya kepada FMT.

Semalam, Menteri Kanan (Pertahanan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perkeso akan menanggung kos saringan Covid-19 bagi pekerja asing sah yang mencarum dengannya, dan lebih 60% pekerja asing sah membuat caruman.

Pengumuman itu menjawab kritikan MEF, yang mengingatkan kerajaan perniagaan ketika ini bergelut untuk memulakan semula operasi selepas sekatan hampir 2 bulan, mengatakan majikan mungkin terpaksa berbelanja sehingga RM1 bilion untuk menguji kira-kira 2.3 juta pekerja asing sah.

Menurut Shamsuddin, Ismail pada 4 Mei mengarahkan majikan menjalankan ujian swab ke atas pekerja asing, dan majikan perlu menanggung kos itu.

MEF berharap kerajaan dapat menjelaskan perkara ini agar kekeliruan tidak timbul.

“Ujian swab yang dinyatakan oleh menteri kanan dan saringan melalui ujian pantas adalah 2 saringan berbeza.

“MEF mencadangkan jika benar Perkeso menanggung kos ujian swab terhadap pekerja asing, ia hendaklah dilakukan peringkat demi peringkat mengikut sektor dan zon yang berisiko tinggi,” katanya.

Shamsuddin bagaimanapun mengingatkan, melakukan ujian swab terhadap semua pekerja asing akan menimbulkan pebagai kerumitan logistik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.