Perkongsian ruang pejabat, norma kerja baru selepas PKP

Perkongsian ruang pejabat, norma kerja baru selepas PKP

Dijangka terdapat permintaan untuk perkongsian ruang pejabat, terutama perniagaan digital kerana lebih banyak perniagaan baru dibangunkan semasa PKP.

Banyak syarikat menawarkan perkongsian ruang pejabat, mengharapkan perniagaan baru selepas penutupan operasi akibat Covid-19.
PETALING JAYA:
Memandangkan aktiviti perniagaan dibenarkan meneruskan operasi selepas 7 minggu ditutup akibat Covid-19, sesetengah pemilik yang berkongsi ruang pejabat meletakkan harapan mereka kepada orang ramai yang mencari cara kerja fleksibel.

Tan Sung Lin, pemilik Nomad Malaysia, menjangkakan permintaan baru untuk perkongsian ruang pejabat, terutama membabitkan perniagaan digital kerana lebih banyak perniagaan baru dibangunkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) “seperti e-dagang, teknologi baru, syarikat mikro makanan dan minuman (F&B mikro) dan logistik”.

Tan berkata budaya kerja dari rumah tidak akan menyebabkan permintaan ruang pejabat merosot kerana orang ramai tidak dapat bekerja dari rumah dalam jangka masa yang panjang, menurut banyak kajian.

“Saya belum lagi menemui sesiapa yang berjaya bekerja dari rumah. Malah mereka yang memiliki pejabat di rumah sukar untuk berada di rumah yang sama untuk jangka masa yang panjang,” katanya.

Sementara itu, ketika menunggu perniagaan kembali seperti sedia kala, 2 pemilik yang berkongsi ruang pejabat berharap pemilik dapat menyediakan kemudahan kepada mereka.

Qayyum Jumadi dari Creatorspace berkata sudah terdapat beberapa tempahan tetapi beliau bimbang tidak dapat mengekalkan premisnya.

“Kami cuba berunding untuk mendapatkan potongan atau pengecualian sewa namun pemilik bangunan masih belum memberi keputusan,” katanya.

Nestspace berkata pendapatan merosot hampir 80% sepanjang tempoh PKP, tetapi berharap perniagaan baru.

Albert Chee dari Nestspace berkata syarikat PKS, terutama dalam teknologi maklumat, baru-baru ini memutuskan untuk memotong perbelanjaan syarikat dan beralih kepada perkongsingan ruang pejabat.

“Kami menerima beberapa permintaan untuk ruang mesyuarat selama 2 hari dalam seminggu. Kebanyakan syarikat ini memotong perbelanjaan atau menamatkan kontrak pejabat mereka dan beralih kepada perkongsian ruang pejabat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.