Tangkap PATI untuk lindungi negara, Ismail jawab pengkritik

Tangkap PATI untuk lindungi negara, Ismail jawab pengkritik

Amnesty International yang mempersoalkan tindakan itu tidak mengetahui apa yang sebenarkan berlaku di Malaysia.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.
PUTRAJAYA:
Tindakan pihak berkuasa melakukan operasi tangkapan ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berdasarkan undang-undang.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, Amnesty International yang mempersoalkan tindakan itu tidak mengetahui apa yang sebenarkan berlaku di Malaysia.

“Amnesty International mereka tidak tahu apa berlaku di negara kita, mereka yang ditahan di uji beberapa kali, kalau di PKPD minimum mereka disaring 2, 3 kali,” katanya ketika sidang media hari ini.

Ismail berkata, tindakan kerajaan menangkap PATI bagi memastikan keselamatan negara kita terjaga termasuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Apa kita lakukan berdasarkan undang-undang negara kita. Amnesty International perlu hormat peratusan negara kita, kita perlu melindungi keselamatan negara kita.

“Ke mana mereka (PATI) nak pergi kalau PKPD ditamatkan di kawasan terlibat, adakah kita boleh benarkan mereka bebas bergerak tanpa ada dokumen perjalanan?,” soalnya.

Ismail berkata, setiap mereka yang ditahan akan diletakkan di depo tahanan dengan memastikan kawalan penjarakkan.

“Tentu sahaja penjarakkan sosial akan dilaksanakan ketika di depo, terima kasih kepada Amnesty International, malah bukan sahaja Amnesty International, ada pihak lain juga bangkitkan isu ini.

“Kepada mereka yang kritik saya harap mereka faham Malaysia negara berdaulat, negara ada undang-undang, kita sendiri kena jaga kepentingan rakyat di negara kita,” katanya.

Ismail berkata, kawalan di sempadan juga diperketat bagi mengawal kemasukan warga asing.

“Kita perketatkan sempadan, termasuk kawasan lorong-lorong tikus, kalau tidak dikawal semua pendatang asing datang ke negara kita, sebab kita biarlan PATI bebas,” katanya.

Beliau mengulas kritikan segelintir pihak termasuk Amnesty International susulan langkah kerajaan menahan PATI.

Operasi Jabatan Imigresen Malaysia ke atas PATI di kawasan PKPD Plaza City One, Malayan Mansion dan kawasan di sekitar Masjid India menyaksikan 3,352 individu diperiksa dan 586 ditahan atas kesalahan imigresen dan dihantar ke depoh tahanan untuk tindakan selanjutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.