
Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia berkata, menerusi perbincangan dilakukan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semalam, pengusaha taska hanya dibenarkan memulakan operasi sekiranya sudah mematuhi ketetapan dan SOP ditetapkan oleh MKN.
“Memang dibenarkan taska kembali beroperasi tetapi tidak semestinya beroperasi. Ada garis panduan dan peraturan yang perlu diikuti oleh pengusaha-pengusaha taska sebelum itu.
“Bahkan, para pengasuh taska juga perlu menjalani saringan terlebih dahulu dan taska juga perlu dinyah kuman,” kata Presidennya, Anisa Ahmad kepada FMT.
Menerusi SOP ketat dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), semua jenis taska akan dibenarkan kembali beroperasi bermula esok. Namun, sekiranya taska itu berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ia sama sekali tidak dibenarkan beroperasi.
Menurut MKN, aktiviti dan protokol taska dibahagikan kepada 4 jenis tindakan iaitu sebelum, semasa dan selepas operasi, selain langkah sewajarnya yang perlu diambil pengusaha sekiranya wujud kes jangkitan positif di premis mereka.
Sebelum membuka operasi, pengusaha, guru dan kakitangan taska perlu disahkan bebas Covid-19, manakala premis mesti dibersihkan dan dinyah kuman. Bahkan, guru dan kakitangan perlu diberi latihan langkah-langkah kebersihan, keselamatan serta pelaksanaan aktiviti berkaitan.
Semasa beroperasi pula, pengusaha dikehendaki menyediakan cecair pembasmi kuman dan meletakkan label penjarakkan sosial seperti tanda jarak 1 meter di lantai, khususnya di ruang makan, tidur dan tempat membasuh tangan.
Manakala, setiap kakitangan taska juga perlu memakai topeng muka sepanjang masa ketika berada di premis dan melatih kanak-kanak mengenai kepentingan menjaga kebersihan dengan kerap membasuh tangan serta menjaga jarak sosial.
Bagi pasca operasi setiap hari, pengusaha taska perlu memaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga untuk memandikan anak mereka terlebih dahulu serta mengelakkan kontak terus dengan warga emas di rumah.
Anisa berkata, tidak dinafikan pihak pengurusan taska mempunyai kesukaran untuk melaksanakan penjarakkan sosial terhadap kanak-kanak kerana memang diketahui sifat semula jadi mereka di usia berkenaan lebih gemar bermain bersama rakan-rakan.
Disebabkan itu, pihak pengurusan taska terpaksa mengambil langkah mengurangkan jumlah kanak-kanak di taska dengan memberi keutamaan kepada anak-anak petugas barisan hadapan dan anak-anak yang kedua-dua ibu dan bapanya bekerja sahaja.
“Selain dari itu tidak akan diterima. Ia dicapai semasa mesyuarat semalam. Terpaksa kurangkan kerana tidak boleh lakukan penjarakkan sosial. Memang kita ketahui hal melibatkan kanak-kanak ini adalah sangat susah, sudah tentu mereka akan berlari, berpelukan dan bermain bersama rakan-rakan.
“Diringkaskan, ibu atau bapa yang bekerja dari rumah hendaklah menjaga anak-anak mereka sendiri. Tidak ada pilihan lain kerana kita kini dalam fasa pemulihan, kita tidak mahu ada kluster daripada taska pula. Jadi, kenalah ambil langkah berjaga-jaga,” katanya.
Jelasnya, tanggungjawab untuk menjaga kesihatan kanak-kanak bukan sahaja terletak di bahu para pengasuh taska tetapi keprihatinan ibu bapa juga.
“Walaupun kita sudah lakukan proses nyah kuman terhadap taska, tetapi masalahnya ibu dan bapa yang membawa anak-anak ke taska itu juga akan memberikan kesan. Kebarangkalian untuk berlaku pelbagai perkara adalah tinggi. Jadi kenalah berjaga-jaga dan mereka juga kena patuhi peraturan ditetapkan,” katanya.