Hampir 100% penduduk Selayang Baru patuh PKPD

Hampir 100% penduduk Selayang Baru patuh PKPD

Polis hanya menerima satu laporan berhubung 2 lelaki Myanmar yang cuba meloloskan diri dari kawasan PKPD itu, setakat ini.

PKPD di Selayang Baru akan berakhir hari ini dan polis akan meningkatkan kawalan keselamatan dengan menggunakan dron dan Unit Anjing Pengesan bagi mengesan sebarang aktiviti jenayah di sana.
KUALA LUMPUR:
Kadar pematuhan penduduk di kawasan Selayang Baru yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sejak 25 April lalu hampir 100%.

Ketua Polis Daerah Gombak, Arifai Tarawe berkata, setakat ini, pihaknya hanya menerima satu laporan berhubung 2 lelaki Myanmar yang cuba meloloskan diri dari kawasan PKPD itu.

“Kita berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan penduduk dalam pelaksanaan PKPD di kawasan ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak semalam.

Meskipun perintah itu akan berakhir hari ini, katanya, kawalan keselamatan di kawasan itu akan terus ditingkatkan.

Selain rondaan biasa, beliau berkata, polis juga menggunakan dron dan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan sebarang aktiviti jenayah di kawasan itu.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar Selayang Baru mendapati kawasan itu masih lengang dan hanya kenderaan pihak berkuasa dibenarkan keluar masuk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.