
Kumpulan yang berisiko di institusi, termasuk mereka yang berada di pusat penjagaan jangka panjang, penjara dan asrama pendatang, mesti dilindungi, kata pakar kecemasan WHO, Dr Mike Ryan.
Walaupun virus itu kini mula terkawal, masyarakat perlu mematuhi langkah penjarakan dan kebersihan fizikal, dan ujian ke atas individu disyaki mesti diteruskan, katanya.
“Ia amat penting ketika banyak negara mula melonggarkan langkah sekatan itu, mereka berdepan risiko lonjakan jangkitan, khususnya penularan di tempat khusus,” kata Ryan pada sidang media.
Wabak Covid-19 merebak di pusat jagaan warga emas di Eropah dan Amerika Utara, sementara di Singapura ia menjangkiti pekerja migran di asrama, katanya, sambil menambah “percikan dalam situasi seperti itu berubah menjadi api yang marak dengan cepat”.
WHO menyedari kesukaran kerajaan untuk meruskan sekatan pergerakan berikutan pandemic itu atas sebab sosial, psikologi dan ekonomi”, kata Ryan.
“Kami bimbang sama ada kita boleh bergerak kepada situasi yang menyaksikan penyakit itu dikawal dengan langkah yang kurang ketat,” katanya.
“Tetapi pada masa yang sama kita mahu menghindari situasi kita melonggarkannya dengan terlalu mudah dan kemudian kembali ke jangkitan serius dan terpaksa melakukannya semula sekali lagi,” katanya.
Walaupun beberapa negara Barat mulai melonggarkan sekatan pergerakan, ada kecenderungan berlakunya jangkitan yang membimbangkan di negara dari Haiti ke Somalia dan Yaman, kata Ryan.
Beliau juga menyebut Sudan, Sudan Selatan, Syria, Afghanistan, Sierre Leone, Republik Afrika Tengah, dan “kluster serius” di Kano, Nigeria utara.
Mengenai wabak yang pertama kali muncul akhir tahun lalu di bandar Wuhan di China, beliau mengulangi bahawa saintis yang memeriksa urutan genetiknya meyakinkan WHO bahawa “Covid-19 adalah virus semula jadi”.
Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus membela tindakannya dan WHO yang disifatkan “tepat pada masanya” ketika mengisytiharkan Covid-19 sebagai darurat antarabangsa pada akhir Januari.
Deklarasi 30 Januari itu dibuat dalam “masa yang cukup bagi seluruh dunia untuk bertindak balas” kerana pada tahap itu di luar China hanya ada 82 kes jangkitan dan tidak ada kematian, katanya.
Tedros berkata WHO, yang berusaha mengetuai tindak balas global terhadap pandemik Covid-19, menggunakan hari-hari sebelum mengisytiharkan darurat global sebagai masa untuk mengunjungi China untuk mengkaji lebih lanjut mengenai virus baru itu.
Dalam kunjungan itu, mereka juga mencapai “kata sepakat” dengan China untuk menghantar penyiasat, kata Tedros.
Ketika ditanya mengenai hubungan WHO dengan Amerika Syarikat, iaitu penderma terbesarnya yang membatalkan pendanaan setelah mengkritik cara badan itu menangani pandemik berkenaan, Tedros berkata, “kami sebenarnya sentiasa berhubung dan kami bekerja bersama.”
Beliau bagaimanapun tidak memberi perincian mengenai perkara itu.