Pelan pulih ekonomi akan diumum hujung Mei, kata Tengku Zafrul

Pelan pulih ekonomi akan diumum hujung Mei, kata Tengku Zafrul

Menteri kewangan mempertahankan keputusan membuka semula sektor ekonomi, mengatakan langkah itu dikaji secara teliti.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.
PETALING JAYA:
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata pelan pemulihan ekonomi akan diumumkan pada penghujung Mei, dengan kementerian yang berkenaan sedang merumuskan pakej itu dengan Unit Perancang Ekonomi.

Dalam temubual dengan Buletin TV3, beliau berkata pelan pemulihan itu akan disesuaikan untuk meliputi semua warga yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan memastikan tiada golongan akan tercicir.

Katanya lagi, setiap satu industri memerlukan pelan ekonomi tersendiri kerana ia merasakan impak yang berlainan.

“Lain industri impaknya lain, seperti industri pelancongan, dia yang pertama yang kena impaknya, tetapi kita tahu dia pun paling akhir akan pulih. Jadi kita mesti mempunyai pelan untuk industri yang berbeza,” katanya.

Beliau juga mempertahankan keputusan Putrajaya membuka hampir semua sektor ekonomi 4 Mei, mengatakan langkah itu tidak tergesa-gesa dan dikaji secara teliti.

Katanya, syarikat dan perniagaan boleh ambil masa untuk buka semula perniagaan, dan tidak perlu tergesa-gesa untuk sambung operasi pada 4 Mei.

“Kita buka bermula 4 Mei tapi kalau ada syarikat atau restoran yang belum bersedia untuk buka janganlah buka. Kita tidak memaksa syarikat untuk buka,” katanya.

Tengku Zafrul berkata isu pekerjaan merupakan isu sejagat, menarik perhatian kepada kadar pengangguran di Amerika Syarikat dan Eropah yang sudah mencecah 2 angka.

Katanya, ramalan Perkeso 500,000 pekerjaan terkesan dengan pandemik mungkin lebih tinggi tanpa pakej rangsangan Prihatin Nasional.

“Kerana kita melancarkan pakej prihatin itu, kita ada subsidi upah. Yang pentingnya kita kekalkan sebarapa ramai orang bekerja.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.