
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran bergerak pekerja-pekerja mereka yang masih berada di kampung bergantung kepada kelulusan polis ke atas permohonan yang dibuat menerusi aplikasi Gerak Malaysia.
Di samping itu, polis juga akan menyediakan jadual pergerakan mereka, yang dijangka akan bermula 7 Mei sehingga 10 Mei.
“Sehingga kini, polis menerima 500,000 permohonan untuk pulang bekerja,” katanya pada sidang media hari ini.
Ismail juga menyeru majikan memberi peluang kepada pekerja memulakan kerja berdasarkan jadual yang disediakan polis.
Kementerian Sumber Manusia akan melihat peruntukan undang-undang jika ada majikan ambil tindakan.
“Saya harap tidak ada pekerja diambil tindakan kerana ini bukan pilihan pekerja mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail meminta kakitangan kerajaan jangan pulang secara tergesa-gesa.
“Ini kerana telah dipersetujui tidak perlu bekerja hari Isnin, dan boleh balik berdasarkan hari yang ditetapkan polis,” katanya.