Exco Perak disiasat hadir jamuan ketika PKP tak dicutikan

Exco Perak disiasat hadir jamuan ketika PKP tak dicutikan

MB Perak berkata, Razman Zakaria masih menjalankan tugas rasminya kerana jentera kerajaan negeri perlu memfokuskan masalah yang sedang dan akan dihadapi akibat pelaksanaan PKP.

Siasatan ke atas Razman Zakaria masih dijalankan kerana menghadiri jamuan tengah hari di sebuah maahad tahfiz di Lenggong semasa PKP. (Gambar Bernama)
IPOH:
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria tidak direhatkan, sebaliknya masih menjalankan tugas rasminya walaupun disiasat kerana menghadiri jamuan di Lenggong semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, ketika ini, jentera kerajaan negeri perlu memberikan tumpuan kepada masalah yang sedang dan akan dihadapi akibat pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu bagi mengekang penularan Covid-19.

“Kerajaan negeri kena cari jalan bagaimana nak ‘reboot’ ekonomi negeri, ini penting dan fokus itu perlu diberikan perhatian secara serius,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Transit Gelandangan di Arena Badminton Perak hari ini.

Pada 18 April lalu, gambar Razman dan beberapa individu bersama Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali menghadiri jamuan di sebuah maahad tahfiz di Lenggong tersebar di media sosial.

Keesokannya, Razman yang juga Adun Gunung Semanggol dan pesuruhjaya PAS Perak memohon maaf secara terbuka menerusi Facebooknya dan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.