
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor, berkata polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 33 tahun memaklumkan anak lelakinya berumur 8 tahun mengadu sakit dan pedih di bahagian duburnya setiap kali keluar dengan suspek berusia 57 tahun itu.
“Wanita itu membuat laporan polis pada 28 Mac lalu dan menurut ibu murid tahun 2 berkenaan, lelaki tersebut telah beberapa kali membawa mangsa keluar bersiar-siar dalam pengetahuannya, termasuk terbaru pada 17 Mac lepas membawanya tidur di sebuah hotel bajet.
“Anaknya juga beberapa kali mengadu bahagian duburnya terasa sakit dan pedih. Wanita itu membuat laporan polis selepas mengesyaki ada yang tidak kena berdasarkan apa yang diceritakan kanak-kanak tersebut,” katanya kepada Bernama malam tadi.
Beliau berkata, polis membawa mangsa mendapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor mendapati kanak-kanak itu diliwat sebelum menahan suspek untuk siasatan lanjut.
Katanya, polis sudah melengkapkan kertas siasatan dan pihak timbalan pendakwa raya bersetuju mendakwa lelaki belum berkahwin serta tidak bekerja itu di Mahkamah Butterworth hari ini dengan 23 pertuduhan meliwat.