Desak Asean, tapi jangan nafi hak kemanusiaan Rohingya, kata Mapim

Desak Asean, tapi jangan nafi hak kemanusiaan Rohingya, kata Mapim

Menurut Mapim, tindakan mengusir semula pelarian Rohingya ke laut antarabangsa bertentangan dengan tanggungjawab kemanusiaan

Pada 17 April, pesawat TUDM mematahkan percubaan 200 pendatang tanpa izin memasuki perairan negara di 70 batu nautika dari barat pulau Langkawi. (Gambar Facebook APMM)
PETALING JAYA:
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersetuju dengan saranan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan agar Asean memulakan perbincangan dengan Myanmar bagi membolehkan pelarian Rohingya kembali dan hidup dengan aman di wilayah Rakhine di negara itu.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan Mohamad bahawa Malaysia tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menolak bot mereka dari perairan Malaysia di tengah laut ia walaupun sarat dengan pelarian.

“Memang Malaysia sudah ramai menerima pelarian, tetapi menolak semula pelarian Rohingya ke laut antarabangsa adalah bertentangan dengan tanggungjawab kemanusiaan.

“Alasan beliau (Mohamad), jika kerajaan membenarkan bot membawa pelarian menghampiri sempadan Malaysia, maka lebih banyak kejadian seumpama itu akan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Mohamad berkata, jika kerajaan membenarkan bot membawa pelarian menghampiri sempadan Malaysia, maka lebih banyak kejadian seumpama itu akan berlaku.

Beliau berkata, ketika ini jumlah pelarian Rohingya yang berada di Malaysia adalah kira-kira 150,000 orang.

Azmi berkata, ia bukankah alasan yang boleh diterima.

Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau berkata, Malaysia masih terikat kepada obligasi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Menolak bot yang dipenuhi dengan pelarian yang terdiri daripada kanak-kanak dan wanita yang kehabisan makanan di tengah-tengah laut sama sekali tidak boleh diterima.

“Walaupun pihak keselamatan Malaysia mengedarkan makanan kepada mereka sebelum mengarah bot keluar dari perairan Malaysia, kami berpendirian ini tidak wajar dilakukan,” katanya.

Azmi berkata, dalam keadaan negara dilanda covid-19, menerima pendatang dari luar adalah membebankan, tetapi ia tidak boleh mengetepikan tanggungangjawab kemanusiaan.

“Membuat keputusan menolak bot mereka kembali ke laut yang berisiko tinggi akan maut, dilihat sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan.

“Malaysia sepatutnya berunding dengan UNHCR untuk melihat bagaimana pelarian yang tiba di perairan Malaysia dapat dibantu, bukan dengan mudah menolak mereka ke tengah laut,” katanya.

Pada 17 April, pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan mematahkan percubaan 200 pendatang tanpa izin memasuki perairan negara di 70 batu nautika dari barat pulau Langkawi.

TUDM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bimbang kumpulan itu akan membawa kluster baru Covid-19 ke negara ini.

Anak kapal KD Lekiu turut mengagihkan bekalan makanan kepada kumpulan itu dan mengiringi bot mereka keluar dari perairan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.