Inspektor didakwa rogol wanita Mongolia bebas dengan jaminan polis

Inspektor didakwa rogol wanita Mongolia bebas dengan jaminan polis

Kertas siasatan dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya di Shah Alam untuk diteliti.

2 wanita Mongolia ditahan dalam sekatan jalan raya dan didakwa tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
PETALING JAYA:
Seorang inspektor yang disyaki merogol 2 wanita Mongolia di sebuah hotel pada 10 April lalu dibebaskan dengan jaminan polis, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat.

“Tidak ada keperluan untuk menahannya lebih lama selepas soal siasat selesai,” katanya kepada FMT.

Fadzil berkata, kertas siasatan dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya di Shah Alam untuk diteliti.

“Tetapi ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan yang perlu kita putuskan. Harap-harap keputusan boleh dibuat minggu depan,” katanya.

Pada 12 April, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pihak berkuasa menyelamatkan kedua-dua wanita terbabit yang berusia 20 dan 37 tahun, sehari sebelum itu.

Katanya, suspek berusia 30 tahun direman selama 5 hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana disyaki merogol.

Reman disambung 2 hari lagi, yang berakhir semalam yang diperoleh dari majistret.

Polis mendapatkan perintah perlindungan sementara dari mahkamah terhadap kedua-dua mangsa dan 3 yang lain untuk membantu mereka dalam siasatan.

Dilaporkan wanita Mongolia itu ditahan dalam sekatan jalan raya pada 10 April. Kedua-dua wanita itu ditahan seorang pegawai kerana mendakwa mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Pegawai tersebut didakwa membawa kedua wanita itu ke sebuah hotel di mana dia dituduh merogol mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.