
Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Paul Selvaraj berkata, syarikat itu perlu menggunakan larutan nyahkuman yang disahkan selamat oleh kementerian itu.
“Pada masa ini, lebih baik dengar nasihat pakar dari kementerian,” katanya kepada FMT, selain menambah bahawa cecair nyahkuman mungkin memberi kesan negative ke atas orang ramai.
Minggu lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, menyembur individu dengan kimia selama 30 saat tidak mencukupi bagi menyahjangkitnya dengan berkesan.
Beliau juga berkata, kimia yang digunakan boleh membahayakan mata dan mulut.
“Daripada penilaian kami, tidak ada bukti menunjukkan peralatan itu berkesan dalam mengurangkan penularan Covid-19, “ katanya dalam taklimat harian beliau.
Pengarah urusan Mydin, Ameer Ali Mydin berkata, rangkaian pasaran beliau menggunakan larutan nyahjangkit berasaskan kuaterner yang 100% bebas alkohol dan berperanan sebagai pelindung tahap pertama terhadap pencemaran silang.
Ameer berkata, larutan itu diiktiraf oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS dan Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-ubatan (FDA).
Beliau juga berkata, ia tidak memberi kesan ke atas kulit dan mata.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Jacob George bersependapat dengan Selvaraj dengan berkata, adalah lebih baik menyerahkan perkara berkait kesihatan kepada kementerian.
Beliau berkata, kenyataan Noor Hisham adalah berasaskan sains dan bukti yang diperolehi daripada laporan dari seluruh dunia.
Beliau berkata, syarikat perniagaan harus mengelakkan kesan buruk, terutama dalam perkara berkaitan kesihatan seseorang.