Kisah sedih bagaimana jenazah mangsa Covid-19 diuruskan di beberapa negara

Kisah sedih bagaimana jenazah mangsa Covid-19 diuruskan di beberapa negara

Bagi negara yang terjejas teruk, tindakan yang mereka ambil mungkin pada orang luar kelihatan kejam tetapi terpaksa dilakukan demi memastikan rantaian jangkitan terhenti.

Proses pengebumian mengikut prosedur yang ditetapkan oleh negara masing-masing dan tidak boleh dihadiri ramai orang. (Gambar AP)

Berdepan kematian orang yang tersayang merupakan satu pengalaman yang akan meninggalkan kesan mendalam pada sesiapa sahaja.

Malah kesan mental menguruskan sendiri jenazah merupakan salah satu pengalaman yang menakutkan untuk dirasai sendiri, tetapi sangat berharga untuk seseorang individu di kemudian hari.

Malangnya bagi ahli keluarga mangsa jangkitan Covid-19, mereka terpaksa menerima hakikat tidak dapat merasai pengalaman ini sendiri.

Waris mangsa jangkitan Covid-19 terpaksa menaruh kepercayaan 100% kepada pihak pasukan perubatan untuk menyempurnakan pengebumian atau pembakaran mayat, dan ahli keluarga tidak dapat melihat wajah si mati untuk kali terakhir.

Berikut kompilasi kisah-kisah pengebumian yang menyayat hati, terpaksa dilakukan disebabkan oleh risiko jangkitan virus Covid-19 seperti yang dilaporkan Iluminasi.

1. Wanita di Sepanyol menulis surat terakhir kepada ayahnya

Setiap mayat Covid-19 di Sepanyol hanya mengambil masa kira-kira 15 minit dan melibatkan 5 orang sahaja iaitu 3 daripada ahli keluarga. (Gambar AP)

Bagi Encarni Calvache, pengalaman melalui wabak Covid-19 merupakan satu pengalaman ngeri yang tidak mungkin dapat dia lupakan.

Ini kerana di antara 6 orang ahli keluarganya, 3 daripadanya dijangkiti; ibu, ayah dan kakaknya.

Setiap hari Encarni akan ke hospital menghantar makanan tetapi langsung tidak dibenarkan menemui ketiga-tiga ahli keluarganya.

Dia hanya dimaklumkan tentang perkembangan tahap kesihatan mereka sebelum pulang.

Selepas diberitahu keadaan ayahnya yang sudah sangat kritikal dan sukar untuk pulih, Encarni menulis sepucuk surat terakhir kepada ayahnya.

Surat itu mujurlah sempat dibacakan oleh jururawat yang bertugas, sebelum ayahnya meninggal dunia.

Pada Encarni, perasaan yang dirasakan sangat sukar untuk dihadapi. Dia tidak dapat menatap ayahnya buat kali terakhir dan terpaksa hadir ke hospital tanpa dapat melawat ibu dan kakaknya.

Kerajaan Sepanyol setakat ini masih membenarkan pengebumian dilakukan melalui pusara atau pembakaran, bergantung kepada pilihan keluarga si mati.

Hanya 5 orang ahli keluarga dibenarkan menghadiri upacara yang dijalankan dalam majlis yang berlangsung tak sampai 5 minit di bawah kendalian seorang paderi bagi penganut agama Kristian.

2. Masyarakat Islam di Sri Lanka mayatnya dibakar

Seorang pegawai polis Sri Lanka menahan orang yang melanggar perintah berkurung. (Gambar AP)

Bagi komuniti Islam yang tinggal di Sri Lanka, pihak waris terpaksa berhadapan dengan situasi di mana upacara pengebumian yang dilakukan bertentangan dengan kehendak agama Islam, atas undang-undang kerajaan Sri Lanka sendiri.

Seorang lelaki berusia 46 tahun bernama Fayaz Joonus terpaksa menerima hakikat bahawa peraturan kerajaan Sri Lanka tidak membenarkan jenazah arwah bapanya, yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada usia 73 tahun disemadikan mengikut Islam, mengakibatkan ayahnya dibakar menjadi abu di pusat krematorium negara itu.

Berikutan prosedur kesihatan yang ketat, jenazah juga tidak sempat disolatkan sebelum dihantar ke pusat krematorium dengan iringan pihak polis.

Jenazah ayahnya merupakan kes kedua kematian pesakit Covid-19 beragama Islam di negara itu.

Akibat daripada tindakan kerajaan Sri Lanka yang tidak membenarkan sebarang prosedur berbeza khas mengikut tuntutan agama pesakit, pelbagai kritikan mula kedengaran melibatkan pelbagai pihak.

Namun kerajaan Sri Lanka bertegas mereka hanya mengikut saranan prosedur standard yang dikeluarkan WHO sendiri.

3. Bagaimana masyarakat China menghadapi kematian orang tersayang?

Seorang wanita memegang sejambak bunga ketika berkumpul di luar taman di mana peringatan rasmi diadakan untuk mangsa Covid-19 di Wuhan, wilayah Hubei, China. (Gambar AP)

Berikutan pertambahan kes yang mendadak, urusan kematian di China khasnya di Wuhan terpaksa dijalankan dalam masa yang sangat pantas.

Sebarang bentuk kematian akan diuruskan di hospital sepenuhnya. Seandainya pesakit meninggal pada hari itu, pada hari itu jugalah jenazah akan dipersiapkan untuk dibakar tanpa sebarang bentuk majlis atau upacara dibenarkan.

Pihak keluarga akan dimaklumkan tentang kematian serta akan diberitahu di mana mereka boleh mengambil abu mayat jenazah yang telah selesai menjalani pembakaran.

Bagi mengelakkan jangkitan, hanya seorang wakil keluarga dibenarkan hadir bagi mengambil abu mayat yang telah dipersiapkan, hadir dengan menaiki kenderaan khas yang disediakan agensi kerajaan terbabit yang menjemput mereka di rumah.

Barisan panjang wakil-wakil keluarga yang hadir untuk mengambil abu mayat dilihat sebagai satu pemandangan biasa di kawasan-kawasan yang dijangkiti teruk.

4. Itali cuba menguruskan mayat dengan terhormat

Keranda yang menempatkan mangsa Covid-19 dibawa keluar untuk proses pengebumian. (Gambar AP)

Bagi negara Itali yang teruk terjejas akibat Covid-19, sebarang bentuk majlis pengebumian melibatkan ahli keluarga beramai-ramai tidak dibenarkan sama sekali, sama seperti kebanyakan negara lain.

Rayuan pihak keluarga sekurang-kurangnya melihat jenazah untuk kali terakhir terpaksa ditolak, disebabkan kebimbangan tentang berlakunya jangkitan.

Situasi ini menyebabkan banyak pihak waris mengalami trauma terpaksa berhadapan dengan situasi yang sangat sukar untuk diterima.

Bagi masyarakat Kristian, menghiaskan jenazah dengan pakaian dan perhiasan yang baik merupakan salah satu tradisi yang mereka amalkan.

Waris kepada si mati dibenarkan untuk membekalkan pakaian yang akan menjadi pakaian terakhir jenazah, namun hanya akan diletakkan di atas plastik yang membaluti tubuh, tanpa boleh dipakaikan dengan sempurna.

Selepas diletakkan dalam keranda, petugas yang menguruskan jenazah akan mengambil gambar keranda yang telah siap diuruskan untuk makluman pihak waris.

Berbeza dengan negara lain, pihak keluarga masih lagi dibenarkan memilih sama ada mahu melakukan pembakaran mayat atau mengebumikannya di pusara.

Dilaporkan 50% ke 60% waris pesakit di Itali memilih untuk melakukan proses pembakaran.

Sebarang bentuk ritual atau majlis tidak dibenarkan sepanjang proses pengurusan jenazah berlaku.

Begitulah bagaimana masyarakat luar memilih untuk menguruskan kes kematian mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Bagi negara yang terjejas teruk, tindakan yang mereka ambil mungkin pada orang luar kelihatan kejam tetapi terpaksa dilakukan demi memastikan rantaian jangkitan terhenti.

Kes kematian pesakit Covid-19 di Malaysia sekurang-kurangnya masih lagi mampu disempurnakan mengikut tuntutan agama masing-masing, walaupun tanpa kehadiran ramai waris yang sudah pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk memberikan penghormatan terakhir.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.