MTUC bantah Perkeso tanggung penuh kos saringan Covid-19 pekerja

MTUC bantah Perkeso tanggung penuh kos saringan Covid-19 pekerja

Kos saringan pekerja tidak termasuk dalam pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

MTUC berkata, ia menerima aduan bahawa ada pekerja yang dipaksa bekerja semasa tempoh PKP jika tidak mahu kehilangan pekerjaan mereka.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membantah pengumuman Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali supaya Perkeso menanggung sepenuhnya kos saringan Covid-19 menerusi 3,000 klinik panelnya.

Presidennya, Abdul Halim Mansor berkata, kos itu tidak termasuk dalam pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Majikan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diberi bantuan serta diberi kebenaran operasi atas permohonan majikan dan PKS.

“MTUC merasa kecewa dan membantah cadangan Azmin itu, iaitu kerajaan membenarkan kos saringan ditanggung oleh Perkeso,” katanya.

Presiden MTUC Abdul Halim Mansor.

Sebelum ini, Azmin berkata, majikan yang memohon untuk beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) juga perlu memastikan pekerja menjalani saringan penyakit Covid-19 di klinik kesihatan panel Perkeso.

Katanya, itu sebagai langkah keselamatan untuk menjamin semua pekerja syarikat yang dibenarkan beroperasi bebas daripada Covid-19.

Dalam pada itu, Halim mempersoalkan bilakah saringan Covid-19 untuk pekerja yang sedang beroperasi hendak dilaksanakan.

“MTUC melihat dari sudut usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat dan melaksanakan.

“Adakah selepas ini akan timbul kluster terbaru, iaitu kluster pekerja industri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Halim berkata MTUC menerima aduan pekerja dipaksa bekerja jika tidak mahu hilang pekerjaan.

Katanya, majikan terlalu gelojoh, tamak dan mementingkan diri-sendiri tanpa mengambil berat kesihatan dan keselamatan pekerja dan membelakangkan pandemik Covid-19 demi kepentingan syarikat.

“MITI telah mengeluarkan kebenaran untuk operasi kepada industri dengan syarat-syarat dan garis panduan yang mesti dipatuhi.

“MTUC memohon pihak berkuasa supaya membuat pemeriksaan di premis industri besar dan PKS.

“Majikan mesti tunjukan surat kebenaran MITI dan adakah mereka menjalankan operasi sebagaimana syarat dan garis panduan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.