‘From your new friend’, Dr Noor Hisham luang masa balas surat peminat cilik sebagai tanda penghargaan

‘From your new friend’, Dr Noor Hisham luang masa balas surat peminat cilik sebagai tanda penghargaan

Lara Khadijah McAfee menulis surat kepada Dr Noor Hisham bagi menyampaikan tanda penghargaan atas kerja kerasnya dan menghadiahkan gelang ‘diy’.

Lara Khadijah McAfee menunjukkan memakai gelang yang sama diberikan kepada ketua pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Seperti semua sedia maklum, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham baru sahaja mendapat pengiktirafan sebagai salah seorang doktor terbaik di dunia dalam menangani wabak Covid-19.

Terbaru, satu perkongsian di Facebook seorang anak kecil yang dikenali sebagai Lara Khadijah McAfee menghantar surat kepada Dr Noor Hisham yang kini berada di barisan hadapan dalam pertempuran negara menentang Covid-19.

Lara yang berusia 9 tahun dari Terengganu di dalam suratnya mengatakan yang dia ada membuat gelang “diy” untuk rakan-rakannya sebagai tanda persahabatan mereka.

Jadi dia memaklumkan ada buat satu gelang “diy” dan diberikan kepada Dr Noor Hisham sebagai tanda terima kasihnya atas segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan terhadap rakyat Malaysia untuk terus kekal selamat dan sihat sepanjang penularan wabak Covid-19.

Mungkin tersentuh dengan keikhlasan Lara, Dr Noor Hisham membalas surat tersebut.

Di dalam surat balasan itu Dr Noor Hisham berterima kasih atas kiriman bracelet yang dihantar kepadanya.

Surat yang dikirimkan Lara kepada Dr Noor Hisham. (Gambar Facebook)

Dia turut memberitahu sekarang cucunya yang sedang pakai bracelet biru itu dan sangat menyukainya.

Beliau mengatakan yang beliau tidak buat semua ini sendirian. Beliau ada pasukan yang membantunya dan rakyat Malaysia juga turut membantu dengan hanya “stay at home”.

“Saya sangat bertuah kerana mempunyai satu pasukan yang hebat bersama-sama dengan saya untuk membantu negara. Seluruh rakyat Malaysia sama seperti anda, banyak membantu dengan memainkan peranan anda dengan duduk di rumah.

“Saya berharap semua akan terus kekal duduk di rumah dan bersama-sama kita dapat melawan virus ini,” balasnya.

Tambahnya bencana yang menimpa negara ketika ini tidak akan kekal lama dan berharap Lara tidak terlalu bimbang dan dengan kuasa tuhan pandemik ini akan berakhir dalam masa terdekat.

Dr Noor Hisham juga berpesan supaya anak kecil ini belajar bersungguh-sungguh supaya satu hari nanti Lara pula yang akan membantu Malaysia.

Apa yang menyentuh hati sebelum menandatangani surat itu, Dr Noor Hisham menggunakan ayat “from your new friend”.

Perkongsian itu mendapat respon positif daripada netizen kerana sikap Dr Noor Hisham yang cukup merendah diri dengan sesiapa sahaja.

Surat balasan daripada Dr Noor Hisham kepada Lara. (Gambar Facebook)

Sementara itu Lara ketika dihubungi FMT berkata dia sangat gembira kerana mendapat balasan surat daripada Dr Noor Hisham sendiri.

Malah dia mahu membingkaikan surat itu sebagai tanda kenangan.

Dia mengakui memang mengharapkan balasan, tetapi tidak menyangka ia secepat itu.

“Saya teruja dan gembira. Saya akan membingkai surat itu dan meletakkan di dalam bilik saya,” katanya kepada FMT.

Surat itu ketika ini menjadi viral di media sosial yang rata-ratanya tersentuh dengan sikap keperihatinan Dr Noor Hisham meskipun sedang berperang melawan Covid-19.

Ketika ditanya mengenai band itu, pelajar Tahun 3 dari Sekolah Kebangsaan Seri Budiman mengatakan bahawa membuat band adalah hobi miliknya.

Dia turut memaklumkan pemilihan warna putih, biru muda dan biru tua sebagai melambangkan warna kebersihan.

Ditanya sama ada dia akan menulis surat penghargaan kepada “frontliners” yang lain ini jawapannya: “Saya merancang untuk melakukannya, tetapi saya belum tahu dekat siapa saya akan tulis.”

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.