
Presiden PKR, Anwar Ibrahim bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan bersama berkata, sidang khas itu perlu diadakan demi proses semak dan imbang yang merupakan tiang seri demokrasi.
“Sekiranya kerajaan enggan mengadakan sidang khas Parlimen, Majlis Presiden PH berpandangan sidang mesyuarat pada 18 Mei perlu diadakan sekurang-kurangnya 2 hari bagi memberi ruang kepada ahli Dewan Rakyat membahaskan isu-isu berkait wabak ini.”
PH berkata, Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen perlu mengadakan pertemuan segera untuk membincangkan langkah yang perlu diambil bagi menyesuaikan peraturan mesyuarat dengan nasihat dan arahan Kementerian Kesihatan dalam menjaga keselamatan petugas serta ahli Parlimen.
Katanya, ini termasuk mempertimbangkan kesesuaian mengadakan sidang Dewan Rakyat dalam talian seperti
dilakukan beberapa negara lain.
“Oleh itu, kami turut mencadangkan satu pertemuan diadakan antara yang di-pertua Dewan Rakyat, wakil kerajaan dan Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution bagi membincangkan perkara ini pada kadar segera.”
Bulan lalu, veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa Parlimen mengadakan sidang khas selama 2 hari untuk meluluskan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion dan membahaskan “penggerakan semula paling awal enjin ekonomi Malaysia”.