Kawalan harga tidak sesuai ketika PKP, kata penternak

Kawalan harga tidak sesuai ketika PKP, kata penternak

Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia berkata, kerajaan mungkin mengabaikan isu yang menjejaskan bekalan barang keperluan.

Penternak ayam tidak berpuas hati dengan langkah kerajaan menetapkan kawalan harga bagi barang keperluan ketika PKP memasuki fasa ke-3 hari ini. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang penternak mempersoalkan tindakan Putrajaya mengawal harga sesetengah barang keperluan kerana ia mungkin mengabaikan isu yang menjejaskan bekalan.

Jeffrey Ng yang juga penasihat Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia, berkata, ia sukar untuk menetapkan harga bagi makanan mudah rosak disebabkan banyak faktor yang menjejaskan kos pengeluaran.

“Ayam sebagai contoh. Minggu lalu, kita berdepan cuaca sangat panas dan ayam cenderung kurang makan. Jadi, mereka membesar pada kadar lebih perlahan dan kos makanan lebih rendah. Bagaimana anda mengira harga itu?” soalnya ketika dihubungi FMT.

Katanya, disebabkan sukar menentukan harga yang tepat, pihak berkuasa berisiko menetapkan harga terlalu tinggi bagi pengguna atau terlalu rendah untuk pengeluar.

Ahad lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan Skim Harga Maksimum akan dilaksanakan ke atas barang keperluan mulai hari ini dan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, langkah itu bertujuan membendung kemungkinan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan.

Ng berkata, kebimbangan utama penternak ayam ialah sekatan PKP menjejaskan logistik dan operasi rumah sembelih.

“Jika rumah sembelih hanya dibenarkan beroperasi 50% daripada tenaga kerja biasa, mereka tidak boleh sembelih jumlah ayam yang sama seperti biasa setiap hari.”

Beliau meminta kerajaan memberi kelonggaran kepada sektor yang memerlukan keseluruhan rantaian bekalan untuk beroperasi.

Katanya, trak daripada sebuah ladangnya diminta berpatah balik daripada menghantar ratusan ayam untuk diproses kerana terdapat lebih daripada 2 orang dalam kenderaan itu.

“Dua orang tidak boleh melakukan kerja pemuatan dan pemunggahan berat. Satu sangkar ayam ialah 32kg dan sebuah trak membawa ratusan sangkar pada satu masa.”

Beliau turut mengeluh syarat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk memohon semula kelulusan beroperasi di bawah fasa ke-3 PKP kerana kerenah birokrasi yang menyebabkan kelewatan operasi.

Pakar ekonomi, Carmelo Ferlito daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), berkata kawalan harga perlu dielakkan kerana kenaikan harga memberi isyarat kepada pengeluar yang permintaan adalah tinggi dan seterusnya menyebabkan mereka meningkatkan pengeluaran.

Walaupun tanpa kawalan harga, katanya, pengeluar sudah lumpuh akibat sekatan PKP.

“Jika melaksanakan kawalan harga, tiada insentif bagi pengeluar untuk meningkatkan pengeluaran dan anda semua akan berdepan masalah bekalan,” katanya sambil menambah pasaran akan menyesuaikan diri secara automatik tanpa campur tangan kerajaan.

Katanya, satu lagi manfaat untuk membiarkan pasaran menentukan harga barangan ialah rakyat akan berfikir panjang sebelum membeli apabila harga barang naik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.