Suri rumah pencari nafkah ketika PKP

Suri rumah pencari nafkah ketika PKP

Ramai mulakan perniagaan kecil dari rumah jana pendapatan tambahan sejak PKP dilaksanakan

Zuhaina Ahmad Zubel membungkus kuah kari untuk roti jala yang ditempah pelanggannya.
PETALING JAYA:
Dapur bersepah sementara tukang masak lencun dibasahi peluh, namun ia tanda hari yang produktif buat Zuhaina Ahmad Zubel yang tekun mengacau seperiuk kuah kari untuk hidangan roti jala yang ditempah pelanggannya.

Masa untuk minum petang hanya dalam beberapa jam lagi. Timbunan pinggan mangkuk yang belum dibasuh menunggu di dalam singki. Bungkusan mi segera dan kotak telur kosong terletak di atas meja.

Sambil mengelap peluh di keningnya, Zuhaina berkata dia tidak pernah sesibuk itu sebelum ini.

Di tempat lain, di seluruh negara terhenti bawah sekatan duduk di rumah berikutan perintah kawalan gerakan (PKP) sejak 18 Mac.

Ketika hari pra-PKP, Zuhaina akan menyediakan hidangan sarapan seperti nasi lemak, mi goreng, sandwic dan minumam petang untuk pelanggannya. Ketika ini dia turut menyediakan hidangan makan malam.

Pelanggan Zuhaina adalah jirannya, penduduk PPR Lembah Subang 2 kawasan perumahan awam yang didiaminya, termasuk penghuni PPR Lembah Subang 1 dan kawasan perumahan di Kelana Jaya.

Bekas setiausaha yang kini suri rumah sepenuh masa, Zuhaina berkata tempahan meningkat 50% ketika PKP, menyebabkan dia “bertapa” di dapur bagi tempoh yang panjang.

“Ada satu ketika suami saya marah,” katanya.

Pesanan pelanggan meningkat kerana orang ramai duduk di rumah disebabkan peraturan PKP. Di samping itu, bantuan tunai Bantuan Prihatin Nasional membantu banyak pihak untuk mengharungi kehidupan sepanjang PKP.

Lebih banyak tempahan bermakna lebih banyak wang – purata keuntungan sebanyak RM200 dalam sehari – tetapi ia datang dengan pengorbanan. “Tak apa, tapi gaya hidup ini bukanlah yang terbaik,” katanya.

Zuhaina juga membeli stok jualannya dalam talian yang bermakna dia harus menggunakan apa saja yang dihantar kepadanya. “Saya tak ada kebebasan untuk pilih kentang atau ayam yang saya inginkan.”

Ramai orang mula menawarkan makanan yang dimasak dari rumah sejak PKP mula berkuatkuasa kata Zuhaina.

Jeni Kew, ibu kepada 3 anak, mula menceburi perniagaan 2 tahun lalu bagi menjana pendapatan tambahan dengan menyediakan makanan yang dimasak dari rumah untuk penduduk kondominium Armanee Terrace. Dia juga melihat peningkatan peniaga yang menawarkan masakan dari rumah.

Sebelum ini hanya “sebahagian kecil daripada kami” menjalankan perniagaan seumpama itu, tetapi sekarang terdapat lebih 20 isi rumah berbuat demikian, katanya. Walaupun mendapat lebih banyak tempahan, beliau terpaksa menolak beberapa pelanggan kerana mengalami kesukaran untuk memenuhinya, terutama tanpa pembantu.

Sekatan PKP bermakna beliau tidak boleh membeli bahan yang dinginkan. Jadi daripada menyediakan 50 tempahan sehari, dia terpaksa mengurangkannya kepada 30.

“Ia sangat mengecewakan kerana semua orang memerlukan makanan. Tetapi pelanggan tetap saya sangat memahami,” kata Kew, yang berasal dari Kampar.

Ditanya mengenai PKP yang dilanjutkan dan bagaimana ia akan mempengaruhi perniagaannya, Kew mengeluh. “Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan.”

Di Bukit Jelutong, Shah Alam, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, ramai penduduk di kawasannya mula menawarkan makanan yang dimasak dari rumah, daripada hidangan Barat hingga kuih tradisional.

Kebanyakan mereka berusaha menambah pendapatan berikutan ada antara meraka yang dipotong gaji. Ia juga bagi mempastikan mereka kekal aktif ketika duduk di rumah.

“Dari maklum balas yang saya lihat, sambutannya sangat baik, ada yang mengalami kesukaran untuk memenuhi pesanan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.