6 sekeluarga bergelut teruskan hidup ketika krisis Covid-19

6 sekeluarga bergelut teruskan hidup ketika krisis Covid-19

Pekerja separuh masa, tidak berkemahiran dan tidak bergaji tetap terpaksa diberhentikan atau berdepan pemotongan gaji sejak PKP bermula 18 Mac lalu.

Sukarelawan Hope Selangor, Prema Thiyagu dan Thiyagu Renugopal menyerahkan bekalan makanan kepada Nehru Annnamalai serta Umadevi Satha Udaia Perasagam.
PETALING JAYA:
Krisis koronavirus menyebabkan ramai yang kehilangan kerja, termasuk Umadevi Satha Udaia Perasagam yang bekerja sebagai pembantu separuh masa di sebuah klinik akibat perintah kawalan pergerakan.

Suaminya, Nehru Annnamalai, 42, hilang pekerjaannya di sebuah gudang pada Disember lalu selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.

Anak mereka yang berusia 14 tahun terpaksa berhenti sekolah untuk menjaganya.

Enam sekeluarga itu bergelut untuk membayar sewa rumah, membeli makanan dan ubat bagi Nehru.

“Kerajaan dan pihak berkuasa tempatan lain perlu turun padang dan lihat sendiri keadaan di sini,” kata Umadevi, 36, kepada FMT.

Penderitaannya sama seperti pekerja separuh masa, tidak berkemahiran dan tidak bergaji tetap yang lain. Mereka sama ada terpaksa diberhentikan atau berdepan pemotongan gaji sejak PKP bermula 18 Mac lalu untuk membendung penularan Covid-19.

Keluarga Umadevi ialah satu daripada 1,200 keluarga yang menerima bantuan persatuan kebajikan Hope Selangor, kata sukarelawan Prema Thiyagu.

“Kami mengagihkan makanan dalam komuniti mereka beberapa hari lalu dan kanak-kanak ini (anak lelaki Umadevi) datang dengan malu-malu dan beritahu beliau tidak makan selama beberapa hari. Ia benar-benar menyedihkan.

“Saya pergi ke rumah mereka dan tiada makanan dalam peti sejuk, hanya 1 cawan nasi dan sedikit mi.”

Sejak itu, Hope Selangor mengagihkan beberapa bekalan makanan asas kepada keluarga itu yang mampu bertahan sehingga 15 April ini kerana Umadevi berkata, beliau akan menerima RM1,000 bantuan kerajaan di bawah skim Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Empat juta isi rumah dengan pendapatan RM4,000 dan ke bawah akan menerima RM1,600 di bawah BPN dengan RM1,000 dibayar bulan ini dan RM600 pada Mei.

Program bantuan itu sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM250 bilion yang diumumkan bulan lalu.

Pada masa sama, organisasi seperti Hope Selangor sedang membantu mengagihkan bekalan makanan kepada keluarga seperti Umadevi, seperti yang dilakukan mereka sejak 15 tahun lalu, dengan menyediakan makanan, ubat dan barang keperluan kepada keluarga memerlukan.

Sukarelawan Hope Selangor di lapangan berwaspada dengan menjaga protokol keselamatan kesihatan seperti mengamalkan jarak sosial dan memakai topeng serta sarung tangan.

Mereka mengagihkan ratusan bungkus makanan setiap hari kepada keluarga memerlukan di Petaling Jaya, Subang, Shah Alam, Puchong dan Ara Damansara.

“Kami mempertaruhkan nyawa kami dengan pergi rumah ke rumah sepanjang tempoh ini, tetapi kami okey dengannya. Biar kami pertaruhkan nyawa kami. Apa yang kami perlukan ialah sokongan orang ramai untuk meneruskan perkhidmatan ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.