Putrajaya digesa gunakan sistem zon buka semula operasi perniagaan

Putrajaya digesa gunakan sistem zon buka semula operasi perniagaan

Kerajaan patut benarkan pengeluaran dan aktiviti ekonomi dalam "zon hijau" beroperasi semula secara beransur-ansur.

Seorang ahli ekonomi mengatakan sektor pembuatan dan pertanian harus dibenarkan untuk meneruskan operasi berikutan sektor ini tidak melibatkan orang ramai berkumpul.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa menggunakan sistem pengezonan di mana aktiviti perniagaan boleh beroperasi semula sehingga vaksin penyakit Covid-19 dihasilkan.

Kebanyakkan pengeluaran dan aktiviti ekonomi dalam “zon hijau” boleh dibenarkan beroperasi semula secara beransur-ansur, tertakluk kepada kawalan kesihatan, kata ahli ekonomi, Carmelo Ferlito.

Bagaimanapun, seorang ahli ekonomi lain, Shankaran Nambiar, berkata Malaysia perlu belajar dari Singapura, yang meneliti semula keputusannya selepas menyedari “mereka tersilap hitung kerana mengutamakan ekonomi dalam kebimbangan mereka itu.”

Ferlito berkata Malaysia tidak dapat mengelak daripada membenarkan perniagaan beroperasi semula.

Kawalan seluruh negara untuk mengekang penularan Covid-19 melumpuhkan 90% perusahaan kecil, yang menggajikan jutaan pekerja dan menyumbang hampir 40% daripada KDNK.

Satu kaji selidik kerajaan baru-baru ini menunjukkan hampir 50% orang yang bekerja sendiri hilang pekerjaan.

Ferlito berkata sistem pengezonan boleh dilaksanakan di mana aktiviti perniagaan boleh beroperasi semula di zon hijau – kawasan tanpa kes Covid-19 – dengan pemeriksaan wajib dan ujian ke atas pekerja, dan sanitasi tempat kerja.

Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, berkata adalah penting perusahaan swasta diselamatkan.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan jenis aktiviti perniagaan yang wajar dikecualikan daripada sekatan perintah kawalan pergerakan manakala selebihnya perlu terus dilarang.

Sebarang aktivi yang membuatkan orang ramai berkumpul secara berkumpulan tidak patut dibenarkan. “Saya fikir restoran, panggung wayang, tempat ibadat, dan pusat beli-belah termasuk dalam kategori ini.”

Aktiviti pertanian dan perkilangan boleh beroperasi semula berikutan sektor ini tidak memerlukan orang ramai berkumpul dalam jarak dekat.

“Kita perlu berhati-hati, model Singapura itu dianggap sebagai model yang layak untuk dicontohi sebelum ini, tetapi kini nampaknya mereka tersilap hitung kerana mengutamakan ekonomi dalam kebimbangan mereka itu.”

Ketika ini, katanya, republik itu meneliti semula keputusan berkenaan.

Apabila aktiviti perniagaan diteruskan, tahap kebersihan yang tinggi diperlukan, terutama dalam industri makanan dan minuman, kata Azrul Mohd Khalib, ketua eksekutif Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen.

“Mereka mesti menyesuaikan diri dengan cepat. Kita perlu belajar dari negara lain yang berjaya tanpa sekatan pergerakan, seperti Korea Selatan dan Taiwan, “katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.