Inspektor direman atas dakwaan rogol 2 wanita Mongolia

Inspektor direman atas dakwaan rogol 2 wanita Mongolia

Suspek berusia 30 tahun itu direman 5 hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Anggota polis itu didakwa merogol 2 wanita Mongolia yang ditahan di sekatan jalan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang anggotanya yang berpangkat inspektor pada Sabtu atas dakwaan merogol 2 wanita Mongolia di sebuah hotel di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihak berkuasa menyelamatkan 2 wanita berusia 20 dan 37 tahun itu semalam.

“Suspek berusia 30 tahun direman 5 hari mulai hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas dakwaan rogol.

“Kami juga akan memohon perintah perlindungan interim daripada mahkamah untuk 2 mangsa itu yang kini di bawah jagaan unit jenayah seksual D11 kami.”

Nik Ezanee berkata, polis akan menjalankan siasatan secara adil ke atas dakwaan rogol itu.

Katanya, rakan 2 wanita itu yang juga warga Mongolia membantu polis dalam proses mengambil keterangan kerana kedua-dua mangsa tidak tahu berbahasa Inggeris atau Melayu.

Dua wanita Mongolia itu dilaporkan ditahan di sekatan jalan pada Jumaat malam lalu. Kedua-duanya ditahan seorang anggota polis yang mendakwa mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Anggota itu didakwa membawa 2 wanita terbabit ke sebuah hotel di mana dia dituduh merogol mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.