
Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata 400 hingga 500 ujian saringan secara bersasar itu dijalankan sehari untuk membolehkan lebih banyak kes jangkitan dikenal pasti.
“Ujian saringan itu dilakukan 48 petugas perubatan dengan menyasarkan golongan berisiko tinggi, seperti warga emas menerusi bantuan analisis data raya.
“Ini usaha sama kerajaan negeri dengan pihak swasta dan disokong sukarelawan serta diselaraskan anak syarikat kerajaan negeri, Selcare Management Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amirudin berkata, ujian saringan itu dilaksanakan mengikut prosedur dan pengawalan ketat di samping menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) serta mematuhi jarak sosial.
Katanya, kerajaan negeri juga menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan misi berkenaan, terutamanya Jabatan Kesihatan Selangor, polis dan sukarelawan kerana sanggup mengambil risiko menjadi barisan depan.
“Semoga pendekatan saringan komuniti yang lebih berstrategi ini berjaya dan diberkati-Nya.”