Sarawak tambah gelang tangan QR kesan individu kuarantin Covid-19

Sarawak tambah gelang tangan QR kesan individu kuarantin Covid-19

Gelang tangan yang dibangunkan Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak itu tidak dapat menampung peningkatan jumlah rakyat Sarawak yang pulang setiap hari.

Pihak berkuasa mungkin membenarkan individu yang dibenarkan pulang ke Sarawak dengan keputusan ujian saringan negatif menghabiskan baki tempoh kuarantin mereka di rumah.
KUCHING:
Kerajaan Sarawak akan menambah bekalan gelang tangan kod QR untuk dipakai individu yang dikuarantin dalam usaha membendung penularan Covid-19 di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata jumlah gelang itu, yang dibangunkan Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) menerusi sistem penyelesaian pengawasan digital, tidak dapat menampung bilangan rakyat Sarawak yang pulang dan jumlah itu meningkat setiap hari.

Karim yang juga menteri pelancongan, kesenian, kebudayaan, belia dan sukan Sarawak, berkata setiap individu dibenarkan memasuki Sarawak akan diberi gelang tangan kod QR yang wajib dipakai sebagai individu di bawah pengawasan yang dikuarantin di beberapa hotel dikenal pasti.

“Jumlah gelang yang kita ada hanyalah dalam lingkungan ratusan unit, tetapi bilangan individu yang dikuarantin semakin bertambah dan SMA sudah membuat tempahan baru,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Wisma Bapa hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, jawatankuasa itu akan mencari penyelesaian baru berhubung lokasi kuarantin dengan jangkaan bilangan rakyat Sarawak, khasnya pelajar yang akan pulang pada bulan Ramadan, Aidilfitri dan Gawai akan meningkat.

“Kita ambil maklum mungkin hotel sedia ada tidak dapat menampung jumlah individu yang perlu menjalani kuarantin selama 14 hari hari setelah pulang ke Sarawak.

“Justeru, kita mungkin melakukan ujian saringan Covid-19 sebaik mereka menjejakkan kaki di Sarawak dan selepas 3 hari jika keputusan mereka negatif, mereka akan dibenarkan pulang dan menghabiskan jumlah hari kuarantin di rumah saja, tidak perlu kuarantin 14 hari di hotel.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.