
“Rakaman percakapan tersebut diambil di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Polis Pahang pada 9 malam 10 April lalu.
“Satu unit telefon dan kad sim turut dirampas daripada ahli Parlimen tersebut untuk membantu proses siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SKMM berkata, bekas timbalan menteri itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara 1 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Ahli Parlimen berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam, yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.”
Kelmarin, satu klip video kira-kira 1 minit menunjukkan orang ramai berpusu-pusu masuk ke BSI. Mereka dikatakan ialah rakyat Malaysia yang baru pulang dari Singapura selepas republik itu enggan menjalankan ujian saringan susulan penularan Covid-19.
Semalam, Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius perbuatan menyebarkan klip video dikatakan “rempuhan” itu kerana ia sebenarnya suasana latihan kebakaran di BSI pada 18 Dis tahun lalu dan Jabatan Imigresen Johor sudah membuat laporan polis.
Hari ini, SKMM berkata, memulakan atau menyebarkan berita palsu ialah kesalahan jenayah dan SKMM bersama polis akan meneruskan pemantauan terhadap mana-mana pihak, termasuk orang kenamaan, pengamal media dan media atas talian yang menyebarkan berita palsu ketika negara berusaha membendung penularan Covid-19.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat demi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Sekiranya ragu-ragu mengenai kesahihan berita, layari portal sebenarnya.my atau pautan telegram https://t.me/sebenarnyamy.“