Isu kilang arak: Cuepacs gesa jangan politik, salahkan penjawat awam

Isu kilang arak: Cuepacs gesa jangan politik, salahkan penjawat awam

Penjawat awam tidak kira di peringkat tertinggi atau peringkat bawahan sentiasa laksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.

Penjawat awam menjalankan amanah dengan sifat yang neutral dan tidak berunsur politik demi agama, bangsa dan negara.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa mana-mana pihak supaya tidak mempolitikkan keputusan kerajaan membatalkan semula kebenaran operasi kilang arak ketika Perintah Kawalan pergerakan (PKP) dengan menyalahkan penjawat awam.
Presiden Cuepacs, Adnan Mat

Presidennya, Adnan Mat berkata penjawat awam tidak kira di peringkat tertinggi atau peringkat bawahan sentiasa melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.

“Setiap keputusan yang dibuat pasti ada baik dan buruknya kepada persepsi rakyat. Jika keputusan itu perlu diperbetulkan, maka marilah sama-sama kita perbetulkan dan bukan buat dakwaan ia dilakukan dengan niat untuk sabotaj.

“Rakyat perlu berlapang dada dalam hal ini kerana tidak semua keputusan yang diambil kerajaan mampu memuaskan hati semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Adnan memaklumkan, pihaknya turut memuji langkah diambil kerajaan kerana berani mengambil keputusan membatalkan semula kebenaran operasi kilang minuman arak.

“Cuepacs mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana membuat keputusan yang berani dengan membatalkan semula kebenaran operasi kilang minuman arak. Tindakan dilakukan kerajaan wajar dipuji kerana ia membuktikan kerajaan sentiasa peka dan mendengar setiap pandangan dan keluh kesah rakyat.

“Sebagai penjawat awam tidak kira dilantik semasa kerajaan terdahulu atau kerajaan semasa, kami sentiasa berikrar menjalankan amanah dengan sifat yang neutral dan tidak berunsur politik (apolitical) demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob semalam mengesahkan Putrajaya membatalkan kelulusan yang diberikan kepada kilang arak Heineken dan Carlsberg untuk meneruskan operasi ketika PKP.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

FMT melaporkan kelulusan “operasi terhad” diberikan kepada kilang arak itu menerusi surat bertarikh 31 Mac lalu yang ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Hasnol Zam Zam Ahmad atas alasan ia memenuhi kriteria pembekal makanan dan boleh terus beroperasi ketika PKP.

Kelulusan itu juga didakwa tanpa pengetahun menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.