Singapura umum peruntukan tambahan RM15.5 bilion perangi virus

Singapura umum peruntukan tambahan RM15.5 bilion perangi virus

Pakej rangsangan baru yang diumumkan Singapura akan meningkatkan jumlah perbelanjaan kepada RM182.3 bilion atau 12% daripada KDNK.

Singapura mengumumkan peruntukan tambahan RM15.5 bilion meliputi sokongan upah, pengecualian levi dan bayaran secara ‘one-off’ untuk memerangi wabak koronavirus. (Gambar AP)
SINGAPURA:
Singapura mengumumkan peruntukan tambahan RM15.5 bilion (S$5.1 bilion) meliputi sokongan upah, pengecualian levi dan bayaran secara “one-off” untuk memerangi wabak koronavirus.

“Ini adalah belanjawan yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk waktu yang luar biasa,” Menteri Kewangan, Heng Swee Keat memberitahu Parlimen pada Isnin, hanya seminggu selepas republik itu memperuntukkan lebih RM131 bilion (AS$30 bilion) dalam langkah sokongan baru bagi menghadapi kemelesetan ekonomi terburuk.

Pada Jumaat, Singapura mengumumkan menutup sekolah dan kebanyakan pejabat selama sebulan sebagai sebahagian langkah lebih ketat untuk memerangi peningkatan mendadak jangkitan koronavirus.

Singapura melaporkan sejumlah 1,309 jangkitan dan 6 kematian akibat pandemik itu.

Heng berkata, langkah baru yang dilancarkan dalam bajet ketiga itu akan meningkatkan jumlah perbelanjaan atas pelepasan koronavirus kepada S$59.9 bilion atau 12% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata, Singapura akan mengeluarkan S$4 bilion tambahan daripada rizab terdahulu untuk membiayai langkah baru.

“Situasi ini kekal sangat dinamikdan tidak menentu. Kerajaan bersedia untuk menyediakan sokongan tambahan sekiranya perlu,” kata Heng.

Heng berkata, anggaran defisit keseluruhan bagi tahun kewangan 2020 dijangka meningkat kepada S$44.3 bilion, atau 8.9% daripada KDNK.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.