
Dalam kejadian pada 7.30 pagi di Taman Linear di Sungai Ara, lelaki itu diperingatkan supaya balik ke rumah sebanyak 3 kali oleh peronda polis tetapi enggan berbuat demikian. Beliau kemudiannya ditahan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya A Anbalagan berkata, lelaki itu yang berpakaian sukan memberitahu polis bahawa beliau mahu berjoging ke pasar kira-kira 500 meter dari situ.
“Kami menahan 29 orang di daerah ini sehingga kini dan telah berkali-kali menasihati orang ramai supaya berada di rumah dalam tempoh PKP, tetapi masih ada individu yang mengingkarinya. Lebih malang, mereka terpelajar,” katanya.
Anbalagan berkata, pejabat pendakwa raya telah memberi kebenaran untuk mendakwa lelaki itu kerana menghalang tugas polis yang menahannya di bawah Kanun Keseksaan dan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Katanya lelaki itu kini berada dalam tahanan polis dan akan didakwa di mahkamah Isnin depan.
Kesalahan tersebut boleh dijatuhi hukuman penjara 2 tahun atau denda RM10,000 jika sabit kesalahan, sementara bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda RM1,000 dan penjara 6 bulan.
Pada Isnin, seorang pakar kardiologi berusia 61 tahun mengaku tidak bersalah atas kesalahan sama, iaitu berjoging di City Park di sini.