
Menteri Besar, Mukhriz Mahathir berkata, keputusan itu diambil selepas perbincangan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam.
“Kita nak mengelakkan berlaku pengumpulan atau (orang) berhimpun ramai-ramai yang boleh menyebabkan penularan wabak ini.
“Kita akan minta semua pihak berkuasa tempatan yang sudah berurusan, termasuk yang sudah ambil deposit untuk sewa tapak atau gerai supaya pulangkan bayaran itu,” katanya di Wisma Darul Aman semalam.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri menangguhkan pembayaran sewa bagi Rancangan Perumahan Awam (RPA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik kerajaan negeri selama 6 bulan bermula 1 April hingga 30 Sept ini.
“Bayaran sewa skim PPR transit juga dikecualikan (ditangguh) selama 6 bulan serta bayaran sewa kedai di bawah seliaan Bahagian Perumahan (kerajaan negeri) juga sama.”
Mukhriz berkata, penangguhan bayaran sewa PPR dan RPA itu akan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM2.76 juta.
Katanya, fasa satu program Kasih Ibu Darul Aman (Kida) yang sepatutnya berakhir 30 April ini akan dilanjutkan sehingga Jun ini susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.
Beliau berkata, seramai 4,281 penerima mendapat manfaat bagi fasa satu program itu.