
Ini susulan rayuan beberapa NGO supaya kerajaan membenarkan mereka terus mengagihkan bantuan sedemikian, termasuk bantuan makanan.
“Kerajaan sangat berterima kasih kepada NGO yang tampil ke depan untuk membantu rakyat,” kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.
“Kita mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan. Kita mahu melindungi NGO. Kita tidak tahu orang yang diberi bantuan itu dijangkiti. Kita bimbang jika mereka dijangkiti, mereka akan menjangkiti keluarga masing-masing pula.”
Ismail berkata, beliau berharap pertubuhan terbabit akan memahami rasional di sebalik arahan melarang bantuan makanan melalui saluran bukan kerajaan, dengan menambah bahawa pihak berkuasa akan menimbangkan kaedah terbaik bagi menyalurkan makanan dan bantuan lain.
Kerajaan sebleum ini mengumumkan bantuan makanan bernilai RM50.8 juta kepada mereka yang layak.
“Mungkin esok kita akan umumkan SOP baru dalam fasa kedua perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.
Semalam, Ismail dilaporkan berkata, kerajaan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selepas mengkaji tindakan dan kesannya kepada rakyat.
Bagaimanapun beliau memberi jaminan PKPD bukannya perintah berkurung.
Khamis lalu, 2 kawasan di Simpang Renggam, Kluang, Johor menjadi kawasan pertama penguatkuasaan PKPD susulan lonjakan kes jangkitan Covid-19.
Seramai 3,500 penduduk di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid diminta berada di rumah setiap masa dan semua aktiviti perniagaan ditutup sehingga 9 Apr ini.
Mereka diberikan bekalan makanan dan ujian saringan Covid-19 dijalankan ke atas semua penduduk.