KKM tubuh jawatankuasa khas audit kes kematian Covid-19

KKM tubuh jawatankuasa khas audit kes kematian Covid-19

Jawatankuasa khas audit kematian Covid-19 akan diketuai oleh pakar perunding penyakit berjangkit Dr Christopher Lee.

KKM berkata, hasil analisis maklumat oleh jawatankuasa khas audit kematian diharap dapat membantu dalam pengurusan pesakit Covid-19.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menjalankan audit ke atas kes kematian pesakit Covid-19 di hospital, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, Jawatankuasa Semakan Mortaliti Covid-19 Kebangsaan itu akan diketuai pakar perunding penyakit berjangkit yang juga bekas timbalan ketua pengarah kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) KKM, Dr Christopher Lee.

Katanya, penubuhan jawatankuasa khas itu diputuskan menerusi mesyuarat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) yang dipengerusikannya, semalam.

“Beliau (Dr Christopher Lee) akan dibantu oleh pakar pelbagai disiplin yang berkaitan, manakala Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan, Bahagian Perkembangan Perubatan bertindak sebagai sekretariat teknikal bagi ‘National Covid-19 Mortality Review Committee’ ini.

“Melalui jawatankuasa ini, setiap butiran pengurusan dan rawatan yang diberikan kepada setiap kes kematian Covi-19 akan diteliti oleh pakar-pakar berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya.

Noor Hisham berkata, hasil analisis maklumat oleh jawatankuasa itu diharap dapat membantu dalam pengurusan pesakit Covid-19.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Christopher Lee yang sudi membantu walaupun sudah bersara daripada perkhidmatan awam pada Januari lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.