
Sudah tentu keutamaan kerajaan pada hari ini memastikan wabak ini dapat dibendung dan keselamatan rakyat terjamin. Saya memiliki sedikit kritikan untuk mereka – terutamanya ketika pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan dilakukan, kurangnya perincian daripada kerajaan menyebabkan rakyat menjadi panik. Walaupun saya berharap semoga “third wave” Covid-19 tidak akan menyebabkan jumlah kes melonjak tinggi, pergerakan rakyat pada 17 Mac membuatkan saya ragu dengan “harapan” tersebut.
Pada 17 Mac 2020, rakyat seolah-olah hilang arah kerana tidak jelas dengan arahan perintah kawalan pergerakan. Akibatnya, ramai rakyat yang pulang ke kampung, melakukan pembelian panik dan mudah terpengaruh dengan berita palsu. Impak daripada kejadian ini kita akan lihat pada minggu ini, semoga penambahan kes pada waktu itu berada pada keadaan terkawal.
Golongan paling terdedah
Saya fikir ia hal asas untuk mana-mana kerajaan – ketika menghadapi sesebuah krisis, meneliti kelompok paling “terdedah” dan memerlukan bantuan untuk terus survive. Kita perlu mengadakan perbincangan yang kritikal mengenai kelangsungan hidup kelompok yang akan terkesan dengan perintah ini. Saya menyambut baik pengumuman kerajaan untuk memberikan bantuan kewangan sebanyak RM600 kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji akibat Covid-19.
Namun, saya fikir kerajaan perlu melakukan banyak lagi. Masih ramai rakyat mengamalkan sistem gaji harian, terutama mereka yang bekerja dalam sektor tidak mahir. Kebanyakan pekerja dalam sektor ini dari kelompok B40, ia bermakna kemungkinan besar mereka tidak memiliki simpanan. Lebih malang, ada majikan tidak mendaftarkan pekerja mereka dalam Sistem Insurans Pekerja (SIP), menyebabkan mereka tidak boleh memohon bantuan RM600 yang ditawarkan Perkeso.
Kerajaan juga perlu segera melakukan kajian – jika perintah kawalan pergerakan diteruskan, adakah jumlah bantuan RM600 sebulan masih relevan ketika krisis?
Saya mencadangkan kerajaan menggunakan platform Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat, sementara memperkenalkan skim bantuan baru untuk kelompok M40 yang terkesan. Bayaran BSH sebanyak RM200 pada Mac tidak cukup, ia perlu dinaikkan pada kadar lebih tinggi; seperti RM1,000. Bantuan BSH kepada kelompok B40 akan memastikan mereka mempunyai wang untuk membeli makanan dan mengeluarkan perbelanjaan yang diperlukan untuk menghadapi krisis ini.
Saya percaya dalam tempoh krisis kerajaan perlu berbelanja lebih untuk kelangsungan hidup rakyat. Bagi kelompok M40 yang terkesan dengan pendapatan bulanan mereka, kumpulan tersebut juga perlu dibantu dengan skim baru – seperti bantuan penangguhan bayaran pinjaman dan bantuan sara diri. Kumpulan M40 sering tersepit kerana bantuan yang terhad.
Beberapa bank sudah mula memperkenalkan penangguhan bayaran pinjaman untuk membantu rakyat yang terkesan. Namun, kita harus ingat, kelompok B40 (barangkali istilah B20 lebih sesuai) kebanyakannya tidak memiliki pinjaman perumahan atau kenderaan. Perbelanjaan akan tertumpu pada makanan harian. Mereka juga kerap menyewa rumah secara langsung dan perlu membayar tuan rumah secara bulanan – ia bermakna mereka memerlukan wang pada penghujung bulan.
Dalam keadaan ekonomi yang tak menentu, sukar untuk saya melihat tuan rumah akan bertindak seperti bank dengan menangguhkan bayaran sewa. Kehilangan pendapatan bulanan akan membawa malapetaka kepada mereka.
Kemudian perlu berbincang tentang “frontliner”, mereka hero yang seharusnya mendapat perlindungan dan ganjaran yang sewajarnya. Ketika senarai servis dan perkhidmatan yang akan terus beroperasi diumumkan, saya tertanya-tanya – siapa yang akan membantu menguruskan rumah tangga “frontliner”? Mereka terdedah pada Covid-19 dan berkemungkinan besar akan mengkuarantin diri. Jika mereka perlu untuk mengupah pengasuh atau pembantu rumah, mereka wajib diberikan bantuan.
Kita sering memikirkan pekerja mahir terutamanya mereka yang bekerja dalam sektor perubatan apabila berbincang tentang “frontliner”. Selain pengkuatkuasa seperti polis dan tentera, kita juga harus memikirkan kelompok pekerja tidak mahir seperti pekerja di pasar raya. Rata-rata pasar raya atau kedai runcit memperolehi keuntungan yang besar semasa krisis ini – namun sejauh mana pekerja dibayar setimpal dengan “kerja lebih” dan risiko yang perlu mereka dihadapi?
Bagaimana keselamatan dan perlindungan sosial yang akan diberikan kepada mereka jika berlaku jangkitan?
Fokus kelompok berisiko
Ia bukanlah waktu paling tepat untuk menukar kerajaan terutamanya ketika krisis Covid-19 berlaku, namun ia berlaku. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kerajaan hari ini untuk memastikan kelompok yang paling berisiko dapat meneruskan kehidupan. Bagi pemain politik pula, ia masa yang sesuai untuk meninggalkan sebentar krisis politik, dan fokus untuk menghadapi krisis yang melibatkan nyawa rakyat. Kerajaan dan rakyat perlu menghadapi masalah ini bersama-sama, wabak ini tidak mampu dikalahkan jika salah satunya tempang.
Rahman Imuda merupakan bekas aktivis mahasiswa dan penulis buku.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.