
Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, beliau mendapati perintah itu menimbulkan kebimbangan secara meluas dalam kalangan orang ramai – secara sedar atau tidak sedar – seperti melalui penjarakan sosial.
Katanya, ini juga dapat dilihat melalui orang ramai yang berada di hab pengangkutan, pejabat kerajaan, pasar raya dan kedai makan pada hari pertama perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.
Susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19, kerajaan mengarahkan semua pejabat ditutup dan aktiviti awam digantung selama 2 minggu, manakala orang ramai diminta tidak keluar dari rumah.
Muhsin berkata, mereka yang terlalu memikirkan pandemik Covid-19 boleh mengalami tekanan teruk.
“Perintah kawalan pergerakan yang berlarutan boleh menyebabkan rakyat menjadi tertekan dalam jangka panjang. Menjauhkan diri secara fizikal (daripada orang lain) boleh menyebabkan kemurungan. Jika beliau sudah mengalami kemurungan atau kecelaruan keresahan, ia mungkin bertambah teruk dan mungkin menyebabkan krisis kesihatan mental.”
Kebimbangan mengenai kesan ekonomi akibat perintah kawalan pergerakan terhadap punca pendapatan mereka mungkin memburukkan lagi masalah kesihatan mental.

Muhsin berkata, terdapat keperluan untuk mempertimbangkan peningkatan dalam interaksi media sosial ketika ini.
“Ada lantunan dalam interaksi melalui media sosial, khasnya mengenai Covid-19 selepas pengumuman perintah kawalan pergerakan.”
Katanya, ini berserta maklumat salah mengenai Covid-19 menjadi penyumbang kepada panik dalam kalangan masyarakat.
“Ini menyebabkan lebih ramai orang berasa bimbang dan tertekan. Jika dibiarkan, maklumat berlebihan di media sosial boleh menyebabkan orang ramai terlalu menumpukan perhatian terhadap pandemik Covid-19.”
Cara mengurangkan kesan negatif
Muhsin menasihatkan rakyat hanya mempercayai maklumat dikeluarkan pihak berkuasa.
“Fokus dan mengoptimumkan aktiviti yang anda paling suka lakukan di rumah.”
Beliau turut menggesa orang ramai memberitahu kebimbangan yang mereka rasakan kepada orang yang dipercayai dan mengikuti cadangan pihak berkuasa berhubung perintah kawalan pergerakan.
“Kekalkan diet sihat dan corak tidur. Jangan terlebih makan atau tidur untuk mengatasi kebosanan anda.”
Tempoh 2 minggu perintah kawalan pergerakan itu boleh digunakan untuk menambah baik ikatan antara ahli keluarga atau anak.
Katanya, disebabkan telekonsultasi atau rundingan secara jauh tidak boleh didapati di Malaysia secara meluas, individu yang menghadapi kemurungan atau kebimbangan masih boleh berjumpa dengan pakar psikiatri atau ke klinik kesihatan mental sepanjang 2 minggu, jika gejala mereka bertambah teruk kerana klinik sedemikian disenaraikan sebagai perkhidmatan asas.
Antara gejala itu ialah susah atau tidak dapat tidur, terlampau bimbang, mood tertekan yang teruk sehingga menjejaskan badan anda (contohnya kesakitan tidak spesifik pada badan anda) atau kecenderungan membunuh diri.
Bagaimanapun, beliau menggesa individu terbabit ke klinik di luar premis hospital bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.
“Tetapi, jika anda menghadapi krisis kesihatan mental, anda boleh ke Jabatan Kecemasan dan Kemalangan di mana-mana hospital.”