11 kematian Covid-19, terbaru babit pesakit HUKM

11 kematian Covid-19, terbaru babit pesakit HUKM

Kematian terbaru itu membabitkan seorang warganegara Malaysia berusia 70 tahun yang juga pengerusi surau kawasan kediamannya dan mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Kematian terbaru membabitkan lelaki berusia 70 tahun yang dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada 18 Mac lalu dan disahkan positif Covid-19 keesokannya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Satu lagi kematian dicatatkan akibat Covid-19, menjadikan keseluruhan 11 pesakit meninggal dunia setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit itu ialah warganegara Malaysia berusia 70 tahun dengan latar belakang penyakit kronik.

“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada Februari 2020. Kementerian Kesihatan juga dimaklumkan beliau merupakan pengerusi surau kawasan beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hisham berkata, pesakit itu mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (dahulu dikenali sebagai HUKM) di Cheras pada 18 Mac lalu.

Beliau berkata, lelaki itu yang merupakan kes ke-1,070 disahkan positif Covid-19 keesokannya dan diberi bantuan pernafasan di unit rawatan rapi.

“Kesihatannya merosot hari demi hari dan disahkan meninggal dunia pada 9.05 malam 22 Mac.”

Semalam, Hisham dilaporkan berkata, kematian ke-10 ialah lelaki berusia 74 tahun daripada kluster tabligh di Masjid Sri Petaling.

Katanya, 123 kes baru dilaporkan semalam, menjadikan keseluruhan 1,306 orang dijangkiti virus itu.

Daripada jumlah jangkitan terbaru itu, 74 pesakit dikesan mempunyai kaitan dengan perhimpunan jemaah tabligh pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.