
Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir berkata, Muhyiddin mengakui dirinya perdana menteri untuk semua, tetapi sengaja tidak mempelawa menteri besar dan ketua menteri “dari negeri yang tidak sehaluan dengan Perikatan Nasional untuk hadir mesyuarat khas menangani Covid-19”.
Beliau mempersoalkan jika rakyat di 5 negeri itu tidak layak menerima perlindungan daripada penularan virus itu disebabkan perubahan aliran politik.
“Walhal kesemua negeri ini ditadbir oleh parti yang sealiran dengan kerajaan Putrajaya hanya 3 minggu lepas. Adakah wajar rakyat di negeri-negeri ini dianaktirikan hanya kerana perubahan aliran politik yang berlaku di pusat?” soalnya hari ini.
Selain Kedah dan Selangor, 3 negeri lain iaitu Negeri Sembilan, Sabah serta Pulau Pinang tidak dipelawa menghadiri Mesyuarat Khas bersama menteri besar dan ketua menteri bagi menyelaraskan Perintah Kawalan Pergerakan antara negeri yang dipengerusikan Muhyiddin petang tadi.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok hingga 31 Mac ini dengan mengharamkan perhimpunan besar-besaran untuk kegiatan agama, sukan, sosial dan kebudayaan, manakala sekolah, pejabat kerajaan dan premis perniagaan pula ditutup.
Hanya perkhidmatan penting, pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan pasar mini dibenarkan beroperasi.
Malaysia mencatatkan 2 kematian akibat Covid-19 hari ini dengan kes pertama membabitkan seorang pastor berusia 60 tahun di Sarawak yang meninggal dunia 11 pagi tadi, manakala pesakit ke-2 pernah menyertai ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari juga dukacita tidak dilibatkan dalam mesyuarat khas itu.
“Selangor adalah negeri yang terkesan besar dengan Covid-19, pentadbiran negeri dukacita tidak dilibatkan dalam urusan penting melibatkan nyawa manusia seperti ini.
“Jelas bertentangan dengan sikap terbuka negeri untuk bekerjasama dengan semua pihak, termasuk kerajaan pusat,” tulisnya di Twitter.
Pakatan Harapan turut kesal dengan tindakan Muhyiddin tidak mempelawa menteri besar dan ketua menteri di 5 negeri menghadiri mesyuarat khas itu.
Majlis Setiausaha PH berkata, 5 negeri itu mempunyai hampir 40% penduduk daripada keseluruhan populasi di Malaysia dan sejumlah besar kes Covid-19 turut berlaku di negeri terbabit.
“Tindakan kawalan Covid-19 yang tidak mengambil kira sebahagian wilayah dalam negara pasti akan menggagalkan usaha pengawalan itu.
“Oleh itu, Majlis Setiausaha PH menggesa Putrajaya segera memanggil pertemuan bersama menteri besar dan ketua menteri ini demi kemaslahatan dan keselamatan warga negeri tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.