
Bagaimanapun 12 usul yang sepatutnya dibahaskan dalam mesyuarat hari ini ditangguhkan dan akan dibincangkan dalam satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan pada suatu tarikh yang ditentukan kemudian.
Mesyuarat berkenaan yang sepatutnya bermula pada jam 10 pagi di Wisma MCA di sini, gagal memperoleh korum seramai 500 ahli. Ia kemudiannya ditangguhkan ke jam 12.15 tengah hari.
“Pada asalnya terdapat 12 usul, tetapi memandangkan keadaan wabak Covid-19, anggota Majlis Peguam memutuskan untuk menarik balik usul mereka. Ia akan dibentangkan pada suatu tarikh akan datang,” kata Salim pada sidang media selepas AGM tersebut tengah hari tadi.
Salim menggantikan bekas presiden Abdul Fareed Abdul Gafoor.

Pemegang jawatan lain yang turut dilantik ialah Surindar Singh Chain Singh sebagai naib presiden; Mohamad Ezri Abdul Wahab sebagai bendahari dan AG Kalidas Krishnan Gnanaprakasam sebagai setiausaha.
Salim berkata, mereka tidak menjangkakan sebarang bantahan terhadap lantikan baru itu walaupun AGM tersebut gagal mendapat korum yang diperlukan.
“Di bawah Akta Profesion Guaman, kami tidak jangka apa-apa masalah.
Salim berharap Majlis Peguam di bawah kepimpinannya akan dapat menjalin hubungan baik dengan kerajaan Perikatan Nasional yang baru.
Beliau berharap kerajaan akan menghapuskan undang-undang drakonian seperti Akta Hasutan.
Beliau juga akan terus mendesak penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang sudah lama tertangguh.