Hampir 2 minggu lepas jawatan, Dr M berbasikal di tasik Putrajaya

Hampir 2 minggu lepas jawatan, Dr M berbasikal di tasik Putrajaya

Ahli Parlimen Langkawi itu dilihat ditemani beberapa individu ketika mengayuh basikal di tasik Putrajaya.

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad (tengah) ditemani beberapa individu ketika mengayuh basikal. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Hampir 2 minggu selepas melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dilihat beriadah mengayuh basikal mengelilingi tasik Putrajaya.

“Saya berbasikal di keliling tasik Putrajaya pagi tadi.

“Badan yang cergas dan stamina yang kuat amat penting dalam melaksanakan aktiviti atau pekerjaan yang kita mahu lakukan,” tulisnya di Facebook.

Status Facebook itu turut melampirkan beberapa keping gambar yang memperlihatkan ahli Parlimen Langkawi itu ditemani beberapa individu ketika mengayuh basikal.

Pengguna media sosial kelihatan memberi semangat kepada Mahathir supaya negarawan itu diberikan kesihatan yang baik pada usia 94 tahun.

“Rehatlah Tun.. berbasikal.. buat aktiviti sihat pula… yang lain tu tak perlu fikir dah.. terima kasih Tun M sebab jadi PM terbaik Malaysia,” tulis seorang pengguna Facebook.

Pada 24 Feb, Mahathir melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri dan kemudian dilantik sebagai perdana menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Peletakan jawatannya susulan tumbangnya Pakatan Harapan di mana PPBM dan ahli Parlimen PKR yang menyokong Azmin Ali meninggalkan gabungan itu bagi membentuk pakatan baru bersama Umno, PAS dan GPS.

Pada 29 Feb, Sultan Abdullah melantik Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen sebagai perdana menteri baru, seterusnya menamatkan kemelut politik negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.