Muhyiddin tak dapat restu parti jadi PM ke-8, kata Kadir Jasin

Muhyiddin tak dapat restu parti jadi PM ke-8, kata Kadir Jasin

Wartawan veteran berkata Majlis Tertinggi parti tidak diajak berunding atau dimaklumkan mengenai hal ini.

Wartawan veteran A Kadir Jasin.
PETALING JAYA:
Pemimpin PPBM A Kadir Jasin berkata pencalonan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8 tidak pernah disokong Majlis Tertinggi, kerana keretakan mula kelihatan dalam parti itu.

Wartawan veteran itu berkata Majlis Tertinggi yang turut dianggotai beliau, tidak diajak berunding atau dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Pendirian terakhir Majlis Tertinggi yang dibuat dalam mesyuarat malam Isnin lalu ialah Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, 36 Ahli Parlimen PPBM mencalonkan presiden mereka untuk jawatan tertinggi dalam satu mesyuarat selepas Istana Negara mengumumkan ia akan bertemu pemimpin politik sebelum membuat keputusan.

Mesyuarat hari ini juga dihadiri oleh 10 anggota PPBM baru – kumpulan ahli Parlimen PKR yang keluar dari parti itu selepas pemecatan timbalan presidennya, Mohamed Azmin Ali.

Kira-kira 1 jam kemudian, PAS dan Umno mengesahkan semua 57 ahli Parlimen mereka menyokong Muhyiddin. Setiausaha Agung Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan mengesahkan sokongan itu dalam kenyataan ringkas.

MCA juga menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin.

Kadir, yang juga penasihat khas media dan komunikasi kepada Mahathir, berkata beliau tidak terkejut apabila Umno dan PAS menyokong Muhyiddin.

“Tidak seperti Dr Mahathir yang hanya bersedia menerima pemimpin Umno sebagai individu, Muhyuddin sanggup menerima mereka sebagai parti.”

Kadir berkata prinsip Mahathir adalah sentiasa menghormati keputusan rakyat yang menolak penjenayah kleptokrasi dalam pilihan raya umum pada 9 Mei.

“Dr Mahathir berulang kali mengingatkan Majlis Tertinggi bahawa Umno ‘desperate’ untuk menubuhkan kerajaan campuran dengan PPBM kerana hari penentuan bagi pemimpinnya yang sedang dibicarakan semakin hampir.”

PPBM, yang diketuai Mahathir, keluar dari parti pemerintah pada awal minggu ini. Ini kemudian membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan minggu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.