
Bekas ketua polis negara, Hanif Omar dan Musa Hassan serta bekas yang dipertua Dewan Negara, Abu Zahar Ujang dibenarkan memasuki Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu.
Hanif yang berkhidmat sebagai ketua polis negara selama 20 tahun dari 1974 hingga 1994, ke istana atas kapasitinya sebagai penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM).
Sumber memberitahu FMT, memorandum itu menggesa raja Melayu memastikan ahli politik yang tiada rekod rasuah atau skandal sejak 3 dekad lalu dilantik menganggotai kerajaan baru.
Ini menyusul cadangan Perdana Menteri sementara, Dr Mahathir Mohamad menubuhkan kerajaan perpaduan ketika beberapa blok politik menghadap Agong bagi meyakinkan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mereka mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk Kabinet di peringkat persekutuan.

Kerajaan PH tumbang selepas Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Isnin lalu.
Agong menemubual 220 ahli Parlimen secara individu pada Selasa dan Rabu lalu untuk mengetahui siapa yang patut menubuhkan kerajaan baru.