
Mereka menerusi satu kenyataan berkata, blok bebas akan dibentuk di Parlimen yang turut disertai Azmin (Gombak) dan Zuraida (Ampang) yang mengisytiharkan keluar daripada PH.
Sembilan wakil rakyat itu ialah Menteri Luar, Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Menteri Kerja Raya, Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Mansor Othman (Nibong Tebal), Ali Biju (Saratok), Santhara Kumar (Segamat), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).
Terdahulu, PPBM mengumumkan parti itu dan semua ahli Parlimennya meninggalkan PH.
Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, semua wakil rakyat parti itu menandatangani akuan bersumpah untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada Mahathir sebagai perdana menteri.