Persatuan penduduk Taman Desa tolak kenyataan menteri WP berhubung arahan pembangunan kondominium

Persatuan penduduk Taman Desa tolak kenyataan menteri WP berhubung arahan pembangunan kondominium

Khalid dilaporkan berkata, arahan berhenti kerja dikeluarkan hanya ke atas projek kondominium yang dikenali sebagai Address 2.

Gabungan Lindungi Taman Desa bimbang kejadian sama boleh berulang sekiranya perintah berhenti kerja ke atas keseluruhan projek kondominium terbabit.

PETALING JAYA Gabungan Lindungi Taman Desa mempersoal kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berhubung arahan pembangunan satu blok kondominium di Taman Desa yang runtuh sebahagiannya minggu lepas.

Khalid dilaporkan berkata, arahan berhenti kerja dikeluarkan hanya ke atas projek kondominium yang dikenali sebagai Address 2 kerana bangunan lain mempunyai arahan pembangunan lain.

Penyelaras gabungan itu, M Gunasekar berkata, arahan pembangunan yang sama dikeluarkan kepada Address 1 dan Address 2.

Ini katanya adalah berdasarkan papan tanda projek yang memaparkan nombor rujukan kebenaran dana tarikh kelulusan yang sama.

Kedua-dua blok itu juga berkongsi pemaju, perunding dan kontraktor yang sama.

Memetik nombor rujukan arahan pembangunan berkenaan, Gunasekar berkata, jelas disebutkan bahawa kelulusan dikeluarkan kepada 2 fasa pembinaan itu melibatkan 2 blok kondominium 37 tingkat.

“Justeru Gabungan Lindungi Taman Desa keliru berhubung kenyataan menteri berhubung arahan pembangunan berkenaan, melainkan mereka mahu menyembunyikan sesuatu daripada orang ramai.

“Oleh sebab itu kami meminta Khalid menjelaskan perkara ini,” katanya kepada FMT.

Katanya, sekiranya 2 projek itu benar-benar mempunyai arahan pembangunan yang berbeza, maka ia bermakna papan tanda yang dinaikkan di tapak pembinaan mengelirukan.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kenapa pihak berkuasa berkaitan tidak membetulkannya.

Maxim Holdings, syarikat pemaju blok kondominium 37 tingkat itu mengesahkan pada Jumaat bahawa bahagian kolam renang di tingkat 6 runtuh dan memerangkap 2 pekerja warga Bangladesh.

Mereka bagaimanapun berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Arahan berhenti kerja dikeluarkan terhadap kontraktor projek, selain Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memberitahu bahawa lesen jualan kondominium tersebut digantung sehingga siasatan selesai.

Penduduk bimbang kejadian sama boleh berulang sekiranya kerja diteruskan sebelum siasatan selesai, selain berkata, projek tersebut terletak berhampiran dengan unit kondominium yang diduduki dan sebuah sekolah.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) kini menyiasat punca runtuhan yang berlaku dan dijangka mengambil masa 1 bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.