
Timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan Othman Semail berkata demikian ketika menjawab soalan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib mengenai surat kerajaan yang ditulisnya dalam menyuarakan pandangan terhadap projek berkenaan kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak.
“Dana yang diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan tidak mencukupi untuk melaksanakan projek berskala besar itu, selain tiadanya aduan berkait projek janakuasa diesel sedia ada.
“Pegawai kementerian hanya boleh menasihati menteri kewangan,” katanya dengan menambah bahawa Najib merupakan “pembuat keputusan” berhubung popjek tersebut.
Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid sebelum ini berkata, Najib memintanya meluluskan projek bernilai RM1.25 bilion itu kepada Jepak Holdings.
Ketika ditanya oleh peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader berhubung kritikannya bahawa projek solar itu tidak mengikuti garis panduan kerajaan pada masa ia mula dicadangkan sehingga ia dianugerahkan kepada Jepak, Othman berkata, beliau tidak mengkritik projek tersebut, sebaliknya hanya memberi pandangannya.
Akberdin kemudiannya berkata, sebagai pegawai kanan kerajaan, Othman telah menggunakan “kata-kata keras” dalam kenyataan saksinya dan juga dalam dokumen kementerian.
Othman juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pasti apakah status projek solar itu hari ini atau sama ada kontrak kepada Jepak dibatalkan.
“Isu ini berada di luar pengetahuan saya,” katanya ketika menjawab soalan sama ada beliau tahu bahawa Jepak Holdings dan kerajaan kini terbabit dalam pertikaian undang-undang berhubung projek berkenaan.
Terdahulu bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan Madinah Mohamad memberitahu mahkamah bahawa projek panel solar itu tidak sesuai untuk sebilangan sekolah di Sarawak kerana ia dikelilingi pokok besar dan terletak di kawasan terpencil.
Perbicaraan bersambung di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan pada 8 Mac.
Rosmah berdepan 3 pertuduhan rasuah kerana didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan kerana membantu syarikat itu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid dan Operasi Janakuasa Diesel untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai lebih RM1.25 bilion melalui rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.
Beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi dari 2016 hingga 2017.