
Ahli Parlimen Bentong itu berkata, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mungkin “tergesa-gesa” melanjutkan lesen tersebut berdasarkan, antara lain, “penipuan, manipulasi, maklumat salah dan propaganda”.
Wong Tack yang merupakan pengkritik lantang kilang nadir bumi itu berkata, apa-apa juga tindakan yang diambil oleh AELB dan JAS berhubung isu seperti lambakan plastik asing, tumpahan kimia dan pencemaran kini hanyalah “langkah pura-pura”.
Beliau menegaskan bahawa sisa radioaktif Lynas tidak selamat dan pencemaran radioaktif merupakan bencana alam paling ekstrem.

“Pencemaran radioaktif daripada sisa Lynas adalah ancaman serius terhadap kesihatan anak-anak kita, ekosistem, sumber air dan pembangunan ekonomi negara secara berkekalan.
“AELB dan JAS gagal melindungi rakyat selama ini. Kegagalan menjalankan tanggungjawab sebagai pengawal selia adalah jenayah kemanusiaan yang serius,” katanya dalam satu kenyataan.
Minggu lepas, Reuters memetik 2 sumber, yang mengetahui perkara itu berkata bahawa kerajaan bersetuju untuk memperbaharui lesen Lynas Malaysia untuk tempoh 3 tahun lagi.
Pada Januari, Lynas berkata, ia menerima kelulusan daripada kerajaan negeri Pahang berhubung lokasi kemudahan penyimpanannya.
Wong Tack menggesa rakan sejawatannya, terutamanya mereka yang menyertai bantahan terhadap Lynas sebelum ini, supaya tampil dan menjelaskan pendirian masing-masing berhubung isu tersebut.
“Kini tiba masanya untuk penuhi janji dan tanggungjawab kita kepada rakyat.”